Pasar Besar Jertih akhirnya siap, peniaga mula operasi

- Advertisement -

BESUT: Pasar Besar Jertih yang merupakan projek terbengkalai akhirnya berjaya disiapkan dan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini. 

- Advertisement -

Menurut beliau, pelbagai isu menyebabkan pasar yang sepatutnya siap pada 2019 tertangguh ekoran COVID-19 sehinggalah bersambung awal tahun 2022 dan siap sepenuhnya penghujung 2023.

Beliau berkata, sebanyak 74 peniaga yang sudah ditempatkan berniaga di pasar berkenaan dan masih terdapat 34 lagi kekosongan terbuka untuk diisi.

“Keutamaan diberikan kepada peniaga yang sedia ada, namun diberikan keutamaan juga kepada peniaga yang sudah meniaga di tempat kurang selesa.

“Sebanyak RM150 sahaja sewa yang dikenakan supaya tidak membebankan para peniaga dan berpatutan,” katanya. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor dan ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Menurut Ahmad Samsuri, pembukaan pasar tersebut dilihat berpotensi membantu rakyat dari pelbagai sudut khususnya ekonomi.

“Saya difahamkan Pasar Besar ini menyediakan 114 ruangan niaga. Ia terdiri dari tingkat bawah yang terdapat 40 bahagian basah serta tingkat satu pula ada 10 bahagian ‘food court’ dan 24 bahagian pelbagai.

“Manakala tingkat dua pula tersedia 40 bahagian pakaian atau pelbagai,” ujarnya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Baru Jertih ini.

Untuk rekod, dua tahun lepas kerajaan negeri merasmikan Dataran Jertih Square yang baru siap dibina ketika itu.  

Menurutnya, dengan adanya pembangunan Jertih Square, pihaknya dapat menyelesaikan masalah peniaga yang terpaksa berpindah randah di bangunan sementara hampir 30 tahun.

“Alhamdulillah, kita juga telah berjaya menempatkan mereka secara kekal di 142 premis ruangan niaga.  

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan fasiliti perniagaan dan ekonomi rakyat di Jertih ini dapat kita lunaskan,” ujarnya.

Beliau berharap pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT seterusnya dapat membantu meningkat ekonomi dan tahap sosial lebih ramai rakyat. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -