Projek LRA lewat siap: Sanusi jelaskan realiti yang terjadi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Loji Rawatan Air (LRA) yang mengalami kelewatan dalam pembinaan projek tersebut di negeri ini adalah disebabkan berlakunya peningkatan harga bahan binaan dihadapi oleh kontraktor terbabit.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara tersebut bukanlah kerana kelemahan oleh mana-mana syarikat yang diberikan tender atau kerajaan negeri tidak memantau pelaksanaan projek.

Beliau menggesa gambaran salah atau laporan secara sisi negatif mengenai perkara tersebut dibetulkan yang berbangkit daripada lawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

LRA Bukit Selambau yang dilawati Akmal dilaporkan sudah diberi lanjutan tempoh masa (EOT) sepatutnya siap dinaiktaraf tahun lalu, namun lewat dan masih gagal disiapkan hingga distatuskan sebagai projek sakit.

Jelas Sanusi, kenaikan harga yang berlaku bukan dalam kawalan kerajaan negeri dan peningkatan antara 40 hingga 70 peratus dihadapi kontraktor itu dilihatnya sebagai sangat tinggi di mana memungkinkan kontraktor gulung tikar.

“Maka dibuat satu proses (menangani sebab) yang menyumbang kepada kelewatan. Kontraktor ini mohon VOP (syarat perubahan harga) untuk menilai semula beberapa item dalam pembinaan ni khususnya besi.

“Kerana (harga) besi meningkat tiga kali (ganda), sampai 70 peratus kenaikan harga besi. Maka mohon VOP ada beberapa item diluluskan oleh JKR (Jabatan Kerja Raya). Tetapi berlaku lagi kenaikan Selepas itu dipohon lagi VOP.

“Jadi inilah yang melambatkan itu cuma di luar bidang kuasa negeri. Jadi Kerajaan (Pusat) kena pertimbanglah untuk semua kontrak. Bukan di Kedah saja. Di negeri lain pun kelewatan-kelewatan yang berlaku akibat kenaikan harga barang binaan,” ujarnya.

Pada beliau, laporan mungkin memetik sisi negatif sahaja, sedangkan jika terdapat penjelasan yang sebenar daripada Timbalan Menteri tersebut ianya juga sepatutnya dinyatakan juga dalam siaran-siaran berkenaan.

“Tak patutlah mai kali pertama di negeri kita mai cari fasal kan? Cakaplah elok-elok. Benda-benda negatif kita cakap dalam mesyuarat, buat teguran, dalam meeting. Kalau tegur secara terbuka dan di’viral’kan secara negatif. Dia akan memberi impak tanggapan orang kepada state ni lemah,” ujarnya kesal.

Sanusi turut menerangkan bahawa pemberian geran yakni untuk perbekalan air luar bandar adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam undang-undang berkaitan.

Selain itu jelasnya, ia selari dasar yang telah dicapai antara negeri dan Pusat untuk proses migrasi bekalan air luar bandar sebagaimana keputusan Kabinet pada tahun 1993 di mana dimasukkan sekali dalam Jadual Ke-9.

“Kalau kawasan bandar, state (kerajaan negeri) kena buat pinjaman. Sebab itu kalau perlu bank untuk bekalan air di Alor Setar, Kubang Pasu di Kuala Kedah dalam kawasan bandar kita kena pinjam yang kita pinjamRM431 juta.

“Untuk kawasan-kawasan luar bandar, di Jenun Baru, Lubuk Buntar, Sungai Limau, Bukit Selambau, itu geran. Sebab dia bekalan air luar bandar pergi Merbok, pergi Lubuk

Buntar, pergi Pendang. Ini semua luar bandar. Sebab itu dia (Kerajaan Pusat) bagi geran.

“Bukan kerana dia baik tahu, bukan kerana dia berihsan bukan. (Tetapi) Itu peraturan dan undang-undang. Itulah yang dicapai dalam perjanjian penstrukturan semula bekalan

air di Malaysia ini.

“Selari dengan Akta WSIA 2006 (atau) Akta 655. Jadi tak payahlah mai duk habaq kata saya sudah baik (berinwang) kenapa kamu (kerajaan negeri) tak urus dengan baik? Tak betul cakap macam itu.

“Walaupun dia tak cakap macam itu tak bermaksud begitu tapi diviralkan seolah-olah itulah maksud,” bidas beliau pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kedah beritahunya, walaupun dapat membuat pinjaman RM431 juta itu, tetapi memahami bahawa kontraktor berdepan kenaikan harga barang binaan sehingga 70 peratus yakni kira-kira RM100 juta.

Namun katanya, pembinaan diteruskan dan kelemahan hingga projek tidak dapat disiapkan menurut jadual ada sebab-sebab yang munasabah dan patut diberikan pertimbangan.

Sanusi turut menyingkap dilema seumpama dihadapi kontraktor projek tender kerajaan yang gagal disiapkan hingga terpaksa dilantik kontraktor penyelamat untuk menyiapkan, namun tetap berdepan kegagalan.

Malah menurutnya, ada juga yang diteruskan tanpa mengikut spesifikasi sebenar kerana kekangan kos hingga menyebabkan binaan runtuh sebagaimana pernah berlaku di beberapa negeri. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -