
KANGAR: Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri Perlis dalam usaha memajukan industri pelancongan tempatan.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, MITA menjalankan siri kunjungan ke setiap negeri untuk meningkatkan pemahaman mengenai produk pelancongan setempat dan mempererat hubungan dengan entiti pelancongan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan langkah untuk meningkatkan promosi dan pembangunan pelancongan di Perlis.
Menurut beliau, pihaknya menyambut baik kunjungan MITA ke Perlis dan menyatakan harapannya agar kunjungan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan MITA.
Beliau juga menggariskan komitmen kerajaan negeri Perlis untuk terus memajukan industri pelancongan di negeri ini.
“Selamat datang ke Perlis yang damai dan menawan. Semoga kunjungan kali ini dapat mengeratkan hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan MITA bagi bersama-sama memajukan industri pelancongan di Perlis, insya-Allah,” katanya.
Katanya lagi, kunjungan itu dianggap sebagai langkah positif dalam menggalakkan pelancongan domestik dan meningkatkan ekonomi tempatan.
“Kerjasama ini akan membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat Perlis serta memperkukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang menarik,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/1/2024











