Pilihan Raya PBT: Lawan rasuah atau dominasi kawasan?

- Advertisement -

DI ANTARA alasan dan desakan oleh sesetengah pihak untuk diadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ialah dakwaan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa dalam kalangan anggota PBT.

Pihak-pihak ini mendakwa rasuah adalah punca keberkesanan perjalanan pentadbiran PBT terganggu dalam menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. 

Namun dakwaan ini jauh tersasar dari kajian yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Dalam kajian SPRM pada tahun 2020, jumlah sebenar individu yang terlibat rasuah (sama ada dalam memberi atau menerima) adalah jauh lebih rendah, hanya sekitar 20 peratus sahaja jika dibandingkan dengan kajian persepsi masyarakat. 

Selain itu terdapat tinjauan yang menunjukkan begitu banyak isu lain di PBT yang perlu diperbaiki dan ditangani bagi meningkatkan kecekapannya. 

Antara yang perlu diberi perhatian adalah kekurangan penguatkuasaan, kelemahan sistem kawalan perolehan dalaman dan pemantauan, campur tangan politik serta kekurangan tenaga mahir. 

Jelas bahawa rasuah sebenarnya bukanlah isu yang meluas dan dominan sehingga kita terdesak untuk melaksanakan Pilihan Raya PBT. 

- Advertisement -

Prestasi PBT di negara maju vs Malaysia

Jika dilihat, pelaksanaan pilihan raya ini bukanlah satu jaminan tidak berlakunya rasuah di kalangan anggota PBT. 

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (US) dan Australia, terdapat kajian menunjukkan rasuah masih tetap berlaku walaupun cara pemilihan anggota kerajaan tempatan adalah melalui pilihan raya. 

Untuk makluman, jika kita bandingkan fungsi, anggota kerajaan tempatan di negara ini adalah hampir sama fungsinya dengan PBT di Malaysia. 

Berbalik kepada persepsi rasuah yang boleh ditangani jika adanya pilihan raya di peringkat PBT atau kerajaan tempatan, kajian oleh Cato Institute, sebuah badan pemikir di US melaporkan bahawa rasuah sangat berleluasa dalam kerajaan tempatan. 

Di sana, ahli majlis menggunakan kuasa yang melampau melalui kelulusan permit, lesen, pengezonan dan pelbagai lagi proses kelulusan lain yang menyebabkan pemaju sering diugut sehingga terpaksa memberi rasuah bagi memastikan sesuatu projek dapat dijalankan. 

Hal ini tidak jauh bezanya di Queensland seperti mana yang dilaporkan oleh Crime and Corruption Commission (CCC), Australia. 

Malahan, sebilangan besar pegawai  berpandangan bahawa banyak ‘lubang’ terbuka luas untuk rasuah mengakibatkan munculnya pelbagai konflik kepentingan, penyelewengan sumber, dan penyalahgunaan maklumat sulit dalam kerajaan tempatan atau PBT. 

Selain dari isu rasuah, realitinya pilihan raya kerajaan tempatan atau PBT tidak mendapat sambutan dari pengundi tempatan. 

Kebenaran dakwaan ini adalah berasaskan dapatan dari tinjauan yang dibuat oleh New York City Campaign Finance Board dalam laporan Voter Analysis Report 2022-2023. 

Dalam laporan ini,  banyak kawasan merekodkan peratusan keluar mengundi yang sungguh membimbangkan iaitu antara 10 hingga 30 peratus sahaja pengundi yang keluar mengundi. 

Keadaan ini berlaku kepada mereka yang terlibat hanya dua kali sahaja dalam pilihan raya.

Jadi, kita dapat bayangkan jika pilihan raya PBT di Malaysia yang diadakan setiap tiga tahun, tidak mustahil peratusan turun mengundi akan jatuh menjunam. 

Hal ini kerana kita sudah ada dua peringkat pilihanraya iaitu pilihan raya peringkat Parlimen dan juga peringkat Dewan Undangan Negeri. 

Saya yakin pengundi berpotensi untuk mengalami ‘lemau’ dalam politik ataupun ‘political fatigue’ akibat terpaksa berhadapan dengan bencana politik sepanjang masa. 

Justeru, ini sangat jauh daripada matlamat asal iaitu mendengar suara rakyat. 

Kepelbagaian cara menutup ‘ruang’ rasuah

Mengambil pengajaran daripada pengalaman global, pilihan raya PBT bukanlah satu-satunya penyelesaian yang mutlak kepada isu rasuah dan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat. 

Perkara yang sebenarnya yang patut diberi perhatian serius oleh semua pihak adalah membina kapasiti institusi PBT. Ini boleh malahan perlu dilakukan melalui mekanisma urus tadbir yang teratur dan menyeluruh. 

Antaranya, pelaksanaan sistem e-PBT dengan digitalisasi menyeluruh. Melalui pendekatan ini, ia dapat mengawal selia sistem kawalan perolehan, pengurusan tender projek dan pelbagai permohonan secara atas talian. 

Ini dapat mengurangkan ‘lubang’ untuk memberi dan menerima wang kopi. Prosedur yang ditetapkan mestilah tidak renyah tetapi cekap sehingga keadilan dapat diberikan kepada masyarakat.

Selain itu, bidang kuasa kerajaan negeri perlu diperluaskan dengan meletakkan kuasa pembuatan keputusan di peringkat PBT sepenuhnya dipantau oleh negeri. 

Sekurang-kurangnya, ruang yang membuka kepada rasuah lebih terkawal. Bagi negeri yang mempunyai rekod integriti yang baik, tentulah masalah rasuah ini dapat diselesaikan dengan penyelarasan prosedur dan perundangan yang teratur dan melibatkan masyarakat. 

Di dalam wawancara di Sinar Harian, Teresa Kok yang merupakan Ahli Parlimen Seputeh, sendiri mengakui bahawa tiada jaminan jika ahli politik dilantik sebagai ahli majlis, tidak berlaku rasuah. 

Beliau sendiri menyedari bahawa sekiranya PH memenangi sebuah negeri, tiba-tiba PBT dikuasai oleh pihak lawan, kerajaan negeri akan ‘mati’. 

Adalah lebih baik sekiranya dibentuk Majlis Perundingan Tempatan di Wilayah Persekutuan yang membolehkan pembangkang terutamanya mendapat akses untuk menyuarakan pandangan kepada PBT. 

Justeru, teriakan pihak tertentu terutamanya dari parti politik bahawa pilihan raya dapat menyelesaikan rasuah hanyalah retorik semata-mata. Kita tertanya adakah ianya mempunyai agenda tersembunyi di sebalik gesaan ini. 

Menelusuri keputusan PRU-15 lalu, PH-DAP telah mendominasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan majoriti undi yang besar. Umum mengetahui DAP adalah parti yang didominasi oleh bukan-Melayu. Keputusan PRU jelas memperlihatkan bahawa bandar-bandar utama dimonopoli oleh satu bangsa sahaja. 

Jadi, apakah maksud sebenar di sebalik gesaan untuk mengadakan pilihan raya PBT? Persoalan yang perlu dibangkitkan, ikhlaskah pihak ini mahu memerangi rasuah?

HANISAH ABD RAHMAN
Yayasan Strategik Lestari (YSL) – HARAKAHDAILY 29/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -