
TANAH MERAH: Johan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63, Muhammad Qayyim Nizar meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas pemberian hadiah sebuah banglo.
Beliau menerima rumah empat bilik di Taman Wadi Impian Eksklusif, Tanah Merah, daripada kerajaan negeri selepas mengharumkan nama negara pada September tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya meluahkan rasa syukur dan berasa gembira di atas pemberian sebuah rumah bernilai RM420,000, dan saya juga berterima kasih kepada kerajaan Kelantan.
“Sebaik sahaja mengetahui bahawa kerajaan negeri mahu menghadiahkan sebuah banglo, saya terus mengucapkan rasa syukur kerana rumah ini juga saya hadiahkan untuk keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa saya,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Rumah Banglo Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 oleh Menteri Besar Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud hari ini.
Muhammad Qayyim, 26 turut tidak menyangka memiliki kediaman sebesar itu.
“Saya menganggap semuanya adalah rezeki daripada Allah walaupun dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) penglibatan sejak lahir.
“Hadiah ini akan dijadikan sebagai pembakar semangat buat saya untuk terus memartabatkan al-Quran sehingga ke serata dunia,” katanya.
Tambah beliau juga kejayaan diperolehi itu membuktikan insan OKU sepertinya juga mampu berjaya dalam apa bidang sekali pun terutama dalam memartabatkan al-Quran.
Muhammad Qayyim pemegang Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menang tilawah antarabangsa tahun lalu, dengan markah 94.96 peratus mengalahkan peserta dari Iran, Alireza Bizhaniavval yang memperolehi 93.30 peratus. – HARAKAHDAILY 18/1/2024











