
KUALA LUMPUR: Konvensyen Bendahari Di Semua Peringkat Kali Kedua atau K-BEST 2.0 adalah bertujuan untuk memperkasakan kemampuan kewangan PAS.
Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata sedemikian tentang konvensyen yang akan diadakan di Ampang pada 3 Februari depan.
Kata Iskandar, konvensyen itu akan dihadiri oleh bendahari-bendahari PAS di semua peringkat iaitu dari Badan Perhubungan PAS Negeri, Dewan-Dewan PAS negeri dan PAS kawasan-kawasan termasuk bendahari-bendahari Sidang As-Sabiqun dari seluruh negara.
“Tanggungjawab bendahari di dalam PAS bukan sekadar menguruskan kewangan parti tetapi tugas beliau adalah juga untuk menjana dana bagi membiayai program-program dan K-Best 2.0 adalah peluang bagi peserta-peserta berkongsi pengalaman mereka,” tambahnya.
Beliau turut memberitahu keberkesanan seorang bendahari bukan diukur dari baki di dalam akaun di mana baki yang tinggi kadang kala disalah tafsir sebagai satu kejayaan.
Katanya, seorang bendahari yang berkesan adalah mereka yang bukan sahaja berjaya mengumpul dana tetapi dana itu dibelanjakan untuk menggerakkan program-program.
“Justeru seorang bendahari yang ‘kedekut’ dengan akaun yang melimpah-limpah tetapi tidak dimanfaatkan untuk program-program bukanlah satu kebanggaan,” ujarnya.
Menurut Iskandar, PAS Pusat melalui Jawatankuasa Teknikal Jabatan Bendahari telah menyediakan program-program untuk membantu dewan, negeri dan kawasan menambah dana mereka.
Hari ini terdapat tiga program utama untuk menjana dana iaitu skim program potongan terus (direct debit) – Infaq Istqamah, program kad SIM (Smart-i) dan kad minyak (Go Green).
“Oleh yang demikian lebih mudah bagi ahli-ahli dan penyokong-penyokong menyumbang kepada PAS sama ada secara langsung melalui program potongan terus – Infaq Istiqamah atau secara tidak langsung melalui penggunaan produk kad SIM – Smart-i atau kad minyak – Go Green,” terang Iskandar yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Iskandar turut berharap agar K-BEST 2.0 akan menjadi platform bagi bendahari-bendahari melontarkan idea-idea baharu di samping mencadangkan penambaikan kepada program-program sedia ada justeru satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan. – HARAKAHDAILY 16/1/2024











