‘Langkah Dubai’ rekaan J-KOM, pembangkang pula yang ditekan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa menghentikan intimidasi dan tekanan terhadap pembangkang serta tidak menjadikan Malaysia sebagai negara polis di bawah pentadbiran beliau.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata demikian sebagai mengulas laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, kelmarin.

- Advertisement -

Laporan tersebut meminta siasatan dijalankan terhadap pihak pembangkang di bawah Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan yang kononnya terdapat ‘Langkah Dubai’ untuk menjatuhkan kerajaan.

Sedangkan menurut Fayhsal, ia jelas merupakan rekaan oleh Jabatan Komunikasi (J-KOM) demi menutup kelemahan urus tadbir ekonomi dan kos sara hidup yang kian meningkat oleh pentadbiran kerajaan gagal pada hari ini.

“Sehinggakan perkara begini boleh dilapor kepada polis dan dijadikan naratif untuk memberikan tekanan kepada pihak pembangkang? Pentadbiran hari ini sepatutnya fokus kepada tugasnya untuk membaik pulih ekonomi.

“Bukan dengan berfantasi serta mencipta pelbagai kisah dongeng demi mengalih pandangan rakyat daripada kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya yang lalu,” ujarnya.

Ketua Armada BERSATU itu juga berkata, Perdana Menteri telah berulang kali menyatakan bahawa kerajaannya masih mempunyai majoriti melebihi dua pertiga dalam Dewan Rakyat. 

Malah menurutnya, pihak terbabit turut didakwa juga terdapat lapan lagi Ahli Parlimen pembangkang yang akan beralih sokongan kepada Perdana Menteri pada hujung Februari ini. 

“Bagaimana pula kerajaan yang lebih sokongan dua pertiga ini boleh tumbang? Namun demikian, tindak tanduk kerajaan hari ini seolah-olah menunjukkan perkara yang sebaliknya sedang berlaku. 

“Seakan-akan mereka sendiri sudah tidak yakin dengan majoriti yang dimiliki justeru terpaksa melakukan pelbagai aksi aneh seperti igauan ‘Langkah Dubai’ yang jelas tidak wujud.

“(Juga) laporan polis terhadap pihak pembangkang atas pelbagai tuduhan rekaan. Mengapa Pejabat Perdana Menteri sangat bimbang dan goyang? Buatlah kerja untuk rakyat, selesaikan masalah mereka bukan sibuk mencipta persepsi karut-marut!” bidasnya. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -