
BALING: “Ini menakjubkan. Tak sangka hampir 22,000 hadir ke Program Baling Bercahaya 2024.”
Demikian ujar Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad di media sosialnya ekoran sambutan hebat pada program yang diadakan malam tadi.
Beliau sendiri tidak menyangka program julung kali diadakan mendapat sambutan yang sangat hebat.
“Ini merupakan permulaan baharu untuk Baling menjadi tarikan pelancongan yang lebih hebat sekali gus memacu ekonomi Negeri Kedah,” kata beliau.
Ujar Hassan, walaupun Baling merupakan daerah yang berada di kawasan pendalaman tetapi dapat membuktikan bukan mustahil diangkat sebagai pusat pelancongan terkemuka.
“Saya ucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Baling kerana berjaya mengadakan program ini.
“Program ini bukan sahaja dapat memberi suatu yang baharu kepada penduduk setempat sebaliknya berjaya merubah wajah pelancongan Baling yang selama ini agak ‘sepi’,” kata beliau lagi.
Karnival awal tahun julung kali itu berlangsung dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam, diadakan di persisiran Sungai Ketil, antara Titian Ilham hingga Wakaf Cina.
Ia diisi dengan pelbagai acara, antaranya persembahan qasidah, seni kebudayaan, pancaran cahaya dekoratif ke Gunung Baling termasuk persembahan seni cahaya di permukaan sungai.
Selain itu gerai jualan pelbagai produk turut memeriahkan program terbabit. – HARAKAHDAILY 9/1/2024











