JKR bina jambatan keluli di lokasi jalan mendap

- Advertisement -

JELI: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina jambatan keluli bermodular (bailey bridge) di jalan yang menghubungkan Jeli-Kuala Balah di lokasi tanah mendap di Kampung Kubur Datu.

- Advertisement -

Adun Kuala Balah Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pembinaan jambatan sementara itu akan diselaras JKR Kelantan.

Katanya, kerja akan bermula hari ini dengan penghantaran peralatan membina jambatan dari JKR Machang.

“Pemasangan jambatan akan bermula pada hari Jumaat ini, di mana ia dijangka mengambil masa selama lima hari. Pemasangan dijangka siap sepenuhnya pada 10 Januari ini.

“Baily bridge tersebut hanya untuk laluan selorong dan kegunaan kenderaan ringan sahaja,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Semalam diadakan tinjaun di lokasi kejadian. Hadir sama Abdul Hadi, Pengarah JKR Kelantan Mohd Suhaili Ismail, Ketua Jajahan Jeli Mohd Shaifuddin Md Salleh, Pengarah Pengurusan Bencana SUK Kelantan Nik Mohamed Noor Nik Ishak dan Pengarah APM Kelantan Kol. (PA) Mohd Adzhar Mujab.

Turut hadir Mejar Hasbullah Abdul Rahman dari RAJD 8 Briged, Timbalan Ketua Polis DCP Tuan Mohd Ali Thamby, Jurutera Jajahan Jeli Ir Ahmad Amru Yusoff, Ketua Polis Jeli Supt. Saari Yaacob dan Pegawai Bomba Jajahan Jeli Mohd Adji Bin Ibrahim.

Jalan raya yang menghubungkan Jeli ke Pekan Kuala Balah terputus ekoran tanah mendap akibat banjir baru-baru ini.

Difahamkan 30 kakitangan JKR dari JKR Kelantan, Pahang dan Perak yang pakar berkaitan ‘bailey bridge’ terbabit bagi kerja-kerja pemasangannya. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -