Pikat isteri orang tak salah: Adakah perogol juga boleh bebas?

- Advertisement -

DALAM kes Lai Hen Beng lwn Pendakwa Raya, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 498 berkaitan kesalahan seseorang menggoda atau memikat (entice) isteri orang. Jadi, sekarang perbuatan itu tidak lagi menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. 

Keputusan ini menimbulkan pelbagai persoalan dari beberapa aspek termasuklah dari sudut kaedah tafsiran undang-undang, pengaruh hak asasi Barat dalam sistem kehakiman negara, peranan negara dan undang-undang dalam menjaga keharmonian kekeluargaan, konsep hak persamaan, falsafah perundangan dalam soal moral, dan kedudukan kesalahan yang serupa di bawah enakmen jenayah syariah. Terlalu panjang kalau nak ulas semua.

Apa yang pasti perbuatan menggoda dan memikat isteri orang adalah perbuatan yang tidak baik. Perbuatan yang boleh mencetuskan dendam, perbalahan dan boleh juga membawa kepada kesalahan-kesalahan lain seperti berzina, bahkan boleh mendorong pembunuhan.

Dalam konteks kekeluargaan dan ikatan perkahwinan, kesalahan ini adalah unsur yang merosakkan keharmonian rumah tangga. Jika tidak dicegah melalui hukuman, maka ia boleh menjadi barah dalam institusi kekeluargaan.

Bahkan, peruntukan Seksyen 498 Kanun Keseksaan ini menjadi sandaran penting dalam pengurusan sumber manusia di agensi kerajaan dan swasta bagi mengawal para pekerja agar menjauhi skandal yang boleh menjejaskan ketenangan rumah tangga seterusnya menjejaskan prestasi kerja.

Namun, dalam pemikiran perundangan Barat akhir-akhir ini, aspek moral, keharmonian rumah tangga dan kehormatan diri tidak lagi dianggap penting. Apa yang penting bagi mereka ialah kebebasan, hak asasi dan privasi. Mereka menjadikan prinsip hak asasi sebagai pedoman hidup dan ‘agama’ baru mereka. Prinsip ini jugalah menjadi tunjang kepada sistem perundangan dan mahkamah di Barat. Tapi yang peliknya kenapa kita yang memiliki asas kukuh dari sudut falsafah moral dan kehormatan diri, menjadikan Barat sebagai kiblat perundangan?

Asas yang digunakan untuk menganggap Seksyen 498 sebagai tidak sah juga amat rapuh. Prinsip hak persamaan di bawah Perkara 8(2) bukanlah satu prinsip yang mutlak, terutamanya yang berkaitan dengan ‘jantina’. Pada asalnya hak persamaan hanya berkaitan empat perkara iaitu agama, ras, keturunan dan tempat lahir. Hanya pada tahun 2001 perkataan ‘jantina’ ditambah sebagai salah satu asas hak persamaan. Namun, persamaan jantina tidak mutlak kerana memang ada situasi yang menghalang persamaan antara lelaki dan wanita. Dalam konteks kekeluargaan misalnya, banyak unsur yang perlu dibezakan antara lelaki dan wanita. Begitu juga dalam aspek yang berkaitan dengan perbezaan semulajadi lelaki dan wanita berkaitan biologi, fizikal dan keupayaan.

Saya khuatir, jika asas hak persamaan digunakan untuk membatalkan Seksyen 498, tidak mustahil akan ada perogol yang berhujah bahawa mereka tidak boleh didakwa kerana seksyen 375 berbentuk diskriminasi terhadap lelaki kerana ia hanya menjadikan kesalahan rogol lelaki ke atas wanita, dan tidak ada peruntukan yang serupa bagi wanita yang merogol lelaki. 

Jika hujah itu diterima maka ramailah perogol akan lepas bebas.

Tegasnya, mahkamah kita perlu ada jati diri. Perkara 3 jelas menyebut Islam adalah agama Persekutuan. Sepatutnya aspek maruah, kehormatan dan kemuliaan manusia diletakkan lebih tinggi berbanding soal kebebasan dan hak asasi. Jika ingin mendukung hak asasi dan persamaan sekali pun, lakukanlah dengan cermat dengan mengambil kira falsafah perundangan yang tepat dan tidak diracuni dengan kecamuk pemikiran hak asasi Barat yang terlalu rapuh. Moga kita semua sentiasa diberi petunjuk oleh Allah dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF – HARAKAHDAILY 16/12/2023 

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100002592335141/posts/pfbid0CYHyLx4fZwGqDtgbSykm8kyQMmNnWvJ6nMSjLRKJz22bCmvUWftqJp1NxaPL9kGJl/?mibextid=xOYQyo 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. – HARAKAHDAILY 15/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -