
KOTA BHARU: Sehingga petang ini seramai 1,040 mangsa banjir daripada 272 keluarga dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Ia melibatkan 19 PPS di tiga negeri terbabit selepas hujan lebat berterusan sejak semalam. Banjir kali ini merupakan gelombang kedua yang melanda Kelantan.
Beberapa PPS dibuka di Kelantan termasuk Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A melibatkan 62 mangsa, Madrasah Chuchuh Puteri A (39), Masjid Chuchuh Puteri A (42) dan Pejabat Veterinar Kuala Krai (52).
Hujan berterusan hari kedua melanda hampir seluruh Kelantan hari ini.
Manakala di Selangor dua PPS dibuka melibatkan 105 mangsa daripada 34 keluarga. Dan di Terengganu sebuah PPS dibuka dengan bilangan mangsa seramai 124 orang daripada 29 keluarga.
Di MACHANG, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan meninjau lokasi banjir di jalan Kampung Bunchit ke Kampung Chanor di mana aliran air begitu deras. (Foto atas)
“Tinjauan pagi tadi mendapati air dari parit kecil melimpah ke jalan. Limpahan air itu menyebabkan jalan digenangi air, namun masih boleh dilalui kenderaan.
“Saya sarankan semua pengguna jalan terbabit supaya hati-hati melintas agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Ahli parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menasihatkan ibu bapa tidak membiarkan anak-anak bermain banjir.
Kata beliau orang ramai hendaklah mematuhi arahan pihak keselamatan.
“Ada beberapa kawasan air sudah melimpahi jalan. Berhati-hati kepada semua pengguna jalan raya.
“Anak perantau yang hendak balik cuti sekolah sila berhati-hati memandu ketika hujan. Rancang perjalanan dengan baik. Untuk info banjir boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023











