
TINDAKAN rakyat Malaysia memboikot produk-produk milik Israel dan Amerika Syarikat telah memberi tekanan yang ketara kepada kerajaan Rejim Zionis. Di Indonesia, penurunan sebanyak 40 peratus kepada jualan produk Israel dan Amerika Syarikat telah direkodkan.
Penurunan ini pasti menjejaskan sumber pendapatan negara haram Rejim Israel dan memberi impak yang besar dalam melumpuhkan ekonomi nereka. Hal ini telah menjadi kemarahan dan protes di kalangan rakyat Israel terhadap kerajaan mereka, seterusnya mendesak agar menghentikan serangan ke atas rakyat Gaza.
Namun begitu, ketidak seragaman pendapat yang berlaku di negara ini terutama dari sudut kebajikan pekerja dan ekonomi negara, menyebabkan usaha boikot tidak dapat dicapai ke tahap optimum. Di beberapa tempat, langkah boikot telah mula dilupakan. Sebenarnya usaha boikot ini seharusnya diteruskan dan diperkukuh sebagai tanda solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Gaza dan Palestin.
Isu pemberhentian pekerja francais menjadi punca dilema dalam kemelut ini. Hal ini seharusnya perlu diteliti oleh banyak pihak terutama kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan.
Berikut adalah berapa langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kehilangan pekerjaan di kalangan pekerja iaitu pertama, pihak kerajaan seharusnya telus dalam memberi maklumat berkaitan syarikat francais yang berada di negara ini, terutama berkaitan status hubungan dengan syarikat induk samada masih berkait atau telah terputus.
Sekiranya benar hubungan itu telah terputus, maka penukaran nama syarikat atau penjenamaan semula perlu dilakukan. Hal ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan usaha boikot disasarkan hanya kepada syarikat yang benar-benar terbabit dalam menyumbang dana kepada kezaliman di Palestin dan Gaza.
Langkah kedua, usaha memindahkan pekerja francais syarikat terbabit kepada syarikat milik tempatan dan bumiputera perlu diperkasakan agar isu pengangguran dapat dielakkan. Skim Insuran Pekerjaan (SIP) dibawah kelolaan PERKESO perlu dimanfaatkan sebaiknya dan ditambahbaik. Kempen beli barangan Malaysia seharusnya menjadi keutamaan dalam memastikan syarikat tempatan mampu berdiri dan berdaya tahan.
Langkah ketiga, kerajaan atau pihak berwajib perlu memberi dana khusus kepada mereka yang berminat membuka perniagaan sendiri berpandukan pengalaman mereka bekerja di syarikat francais tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat memperbaiki resepi dan design produk tempatan agar standing dengan produk francais.
Langkah keempat, sekiranya Syarikat francais masih berkait dalam penbayaran royalti kepada syarikat induk, maka pemilik tempatan atau pemegang syer syarikat francais tersebut seharusnya bersedia meninggalkannya , seterusnya bersama dan membantu syarikat tempatan yang baru bercambah.
Sekiranya langkat-langkah ini dapat dipraktikkan, maka tidak timbul isu menzalimi pekerja francais. Perkara ini sepatutya lebih mudah dicapai berbanding terus menerus menjadi pengguna produk Israel yang menjadi peluru kepada saudara kita.
Kejayaan melaksanakan cadangan ini mampu menjamin kelangsungan tindakan boikot selari dengan solidariti yang berterusan terhadap Penduduk Gaza dan Palestin.
DR SALMAH ABD RAHMAN
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Modal Insan, Dan Lajnah Pengguna dan Kepenggunaan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
5 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 5/12/2023











