Perbuatan kerajaan sama seperti Israel perlakukan Palestin

- Advertisement -

KEMAMAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sikap pemimpin negara ini tidak berani mengecam Israel sebagai pengganas memungkinkan mereka mempunyai hubungan dengan pihak tersebut.

“Kerana ini juga kita memberi satu amaran kepada kerajaan supaya mereka tidak terlibat di sebelah Israel umpamanya. Perdana Menteri sepatutnya menyebut pengganas yang terbesar ialah apa yang dilakukan oleh Kerajaan Israel. 

“Bukan HAMAS yang menjadi pengganas. HAMAS cuma tuntut balik harta dan negara mereka. Kadangkala dalam usaha itu akan berlakulah keganasan, tetapi bukan kerana mengganas. Sebenarnya sebelum ditubuh di negara Israel, HAMAS tidak wujud sama sekali. 

“Kerana tidak ada keperluan untuk HAMAS merebut apa-apa di Palestin. Tetapi hari ini kita dapati HAMAS mereka berjuang untuk menyelamatkan negara mereka,” ujarnya Ceramah Perdana Grand Finale PRK P.040 Kemaman di Padang Astana, di sini semalam.

Beliau malah turut kesal kerajaan kini telah membuat tuduhan kononnya terdapat organisasi di negara ini yang kutip sumbangan untuk HAMAS, tetapi kemudian diselewengkan tanpa diselidik siasat kebenarannya.

“Tuduhan bahawa wang yang dikutip ini dimasuk dalam poket mereka, kononnya. Tetapi yang anehnya ialah kerajaan membekukan wang untuk orang Palestin sebanyak berpuluh juta ringgit yang dikutip untuk dihantar kepada Palestin. 

“Ini bermakna bahawa yang menghalang bantuan kepada Palestin ialah kerajaan kita sendiri kerana mereka tidak benar wang yang dikutip itu disampaikan kepada orang-orang Palestin.

“Kerajaan kita waktu ini tak ingin kecam Israel, tetapi mereka menghalang bantuan kepada Palestin untuk disampaikan kepada orang-orang Palestin yang semua menderita tekanan oleh pihak Israel,” ujarnya.

Tun Mahathir turut menyifatkan tindakan dilakukan Israel terhadap orang Palestin itu menyamai perbuatan kerajaan kini yang mana disekat bantuan sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri.

Beliau malah menyatakan paksaan menyokong Perdana Menteri dengan menyekat peruntukan kewangan tersebut adalah satu bentuk rasuah yang dilakukan oleh pihak kerajaan sendiri secara terbuka membabitkan wang negara.

Begitu juga peruntukan sepatutnya diberikan kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis katanya, tidak diberikan kerana tidak menyokong kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan ketika ini ujarnya, mempunyai banyak masalah terutama berkaitan kewangan di mana gagal menurunkan kos sara hidup sehingga ramai rakyat yang menderita termasuk sukar mendapatkan makanan.

“Kerana harga makanan sudah naik dan mereka tak ada pendapatan sama sekali. Sekarang ini dicadang kononnya subsidi akan diberi kepada orang tertentu sahaja. Siapa yang akan dapat? Percayalah cuma yang sokong kerajaan sahaja akan dapat, yang lain tak dapat. 

“Ini pilih kasih dengan menggunakan wang kerajaan dan merupakan satu jenayah iaitu mereka menggunakan wang kerajaan untuk sogok wakil-wakil rakyat supaya membuat kenyataan menyokong kerajaan ataupun Perdana Menteri,” ujarnya.

Tun Mahathir malah menyuarakan kekesalan kerana berlaku larangan bertakbir dan tidak boleh bercakap mengenai Islam serta Melayu, termasuk kerajaan tidak boleh ditegur di mana semua lawan mesti menutup mulut.

“Kita di sini bernasib baik kerana kita masih dapat bebas ataupun kemerdekaan. Walaupun dia kita dapati kerajaan yang ada sekarang ini bukanlah berjuang untuk bangsa, untuk agama, untuk negara. 

“Tetapi berjuang untuk mendapat tempat sebagai Perdana Menteri. Tak ada satu pun yang dilakukan selama 365 lima hari dia jadi Perdana Menteri melainkan ucapan. Hari-hari ada ucapan. 

“Buka akhbar pagi-pagi ada kenyataan daripada Perdana Menteri. Tetapi semuanya pembohongan. Kerana tak satu apa pun yang telah dilakukan oleh kerajaan ini, pimpinan Anwar Ibrahim,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 2/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -