
KEMAMAN: Suasana pengundian di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Kerteh berjalan lancar walaupun jalan yang dibasahi hujan awal pagi tadi masih belum kering sepenuhnya.
Kelihatan ramai pengundi terutama dari kalangan warga emas dan dewasa keluar awal untuk membuang undi.
Sementara itu, calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tiba di pusat pengundian tersebut kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketika ditemui Harakahdaily, beliau berharap orang ramai mengambil kesempatan untuk keluar mengundi lebih awal.
“Alhamdulillah pada pagi ini cuaca sangat baik, kita berharap supaya ianya bertahan sampai ke petang, kita doakan kepada Allah SWT.
“Minta pengundi keluar awal, sebab (cuaca) tidak dapat dijangka. Kalau boleh semua dapat keluar awal, paling tidak jika berlaku hujan di sebelah petang sekurang-kurangnya semua sudah cover,” katanya.
SK Kertih merupakan salah satu daripada 18 pusat pengundian yang dilawati oleh Ahmad Samsuri pagi ini.
Mengulas berhubung jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, berharap peratusan itu lebih dari angka berkenaan.
“Kita berharap (jangkaan peratusan keluar mengundi) lebih tinggi lagi, walaupun memang cabaran dalam mana-mana PRK ini memang berdepan cabaran berkenaan.
“Cuma kita berharap suasana di Terengganu mungkin agak berbeza kerana kesedaran dari segi pengundi-pengundi saya harap lebih baik untuk keluar mengundi,” katanya.
Pada PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai ahli parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.
Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRK itu memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta. – HARAKAHDAILY 2/13/2023













