Tiada kerusi: Sanusi rasa ada perkara tidak kena

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, pihaknya sentiasa menghormati bidang kuasa pegawai kerajaan malah kerap kali berbincang serta bertukar pandangan untuk kemakmuran negeri.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama, beliau sentiasa menasihati serta memastikan anak-anak buahnya (pegawai lantikan politik) jangan campur tangan dalam urusan kerajaan.

“Isu yang membelengu kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dahulu antaranya sikap antara pegawai lantikan politik dan pegawai kerajaan.

“Pegawai kerajaan dok sebelah, pegawai lantikan politik dok sebelah. Kerajaan jadi lemah. Akhirnya terbalik,” katanya pada sidang media selepas selesai pembentangan rang undang-undang dan usul pada persidangan DUN di Wisma Darul Aman, hari ini.

Sanusi sekali lagi mengulangi ‘kisah’ campur tangan pegawai lantikan politik pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri dalam urusan kerajaan berkaitan delegasi ke Sadao, Isnin lalu.

Jelasnya, beliau yang menerima jemputan dari Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) pada Sabtu diberikan jadual penuh penglibatannya sama ada berkaitan pre-council, memberi input, lawatan, mesyuarat dan termasuk perjumpaan bersama Perdana Menteri Thailand.

“Tetapi di dua tempat iaitu di Raia Hotel dan sewaktu jamuan makan di sebuah hotel di Danok, untuk saya tidak disediakan kerusi walaupun akhirnya disediakan.

“Cuma saya dapat merasakan ada perkara yang tidak kena kerana sewaktu kerusi saya sampai, tag nama saya juga diletakkan. Maknanya kerusi itu memang dah disediakan.

“Sebab itu saya katakan, tindakan itu adalah satu ‘game’ atau permainan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu beliau menyarankan agar pegawai lantikan politik terutama Setiausaha Politik (SetPol) memahami bidang tugas dan ‘sempadan’ mereka dalam pentadbiran kerajaan.

Tugas Setpol ujarnya tertakluk kepada Akta Skim Saraan Setiausaha Politik (akta 43C 1980) yang disebut jelas tidak boleh masuk campur urusan pentadbiran kerajaan.

Malah tegasnya, surat Setpol untuk pegawai kerajaan juga ‘tidak laku’ dan tidak boleh diguna pakai.

“Jadi sama ada Setpol atau mana-mana pegawai lantikan politik kena fahamlah.

“Mereka (pegawai lantikan politik) ini dalam apa-apa perkara lebih terpengaruh kepada kecenderungan fahaman politiknya.

“Tetapi pegawai lantikan politik di Kedah tidak begitu. Mereka faham dan sentiasa bersikap profesional,” ujarnya lagi.

Tetapi Sanusi tidak menafikan sikap yang ditunjukkan oleh pegawai lantikan politik peringkat persekutuan itu kemungkinan dipengaruhi rasa mereka berkhidmat dengan kerajaan yang besar dan menganggap negeri ini kecil.

Namun beliau mengingatkan agar golongan berkenaan jangan lupa bahawa sekiranya tiada negeri tidak akan wujud persekutuan (membentuk Malaysia).

“Saya bercakap ini untuk mematangkan diri dan pemikiran saya serta memahami senario di sekeliling saya. Setiap rentak saya perhatikan, daun yang gugur pun saya perhatikan.

“Saya perhati semua, para pegawai lantikan politik. Saya perhati protokol Thailand yang bagi saya lebih bersikap profesional.

“Saya bawa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Seri Norizan Khazali iaitu pegawai nombor satu di Kedah ke pre-council di Raia Hotel tetapi kerusi untuk dia juga tidak disediakan,” luah beliau.

Justeru baginya apa yang berlaku Isnin lalu adalah satu yang tidak bagus dalam pengurusan, oleh itu para pegawai lantikan politik berkenaan perlu belajar lagi terutama kefahaman bidang tugas masing-masing. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -