
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menawarkan skim pembiayaan No-Riba dengan had maksimum sebanyak RM50,000 tertakluk terma dan syarat bagi Tabung Pusingan Modal untuk pembuatan bot tradisional.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, Tabung Pusingan Modal itu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang ditawarkan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).
“Antara skim pembiayaan dan geran perniagaan yang boleh dipohon termasuklah Sektor Warisan (pembuatan bot tradisional),” katanya.
Dalam masa sama, kata beliau, kerajaan negeri mempunyai perancangan bagi penyediaan latihan dan kursus bagi pembuatan bot tradisional.
“Pihak kerajaan negeri merancang untuk berkerjasama dengan jabatan dan kementerian pelancongan serta Malaysian Timber Industry Board (MTIB) bagi penyediaan latihan serta kursus-kursus yang berkaitan pembuatan bot tradisonal.
“Buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan latihan ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Besut,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid, pada persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Zaharudin bertanya mengenai perancangan kerajaan negeri bagi menyediakan latihan secara intensif kepada anak Terengganu yang berminat di dalam pembuatan bot tradisional dan adakah kerajaan negeri ada menyediakan Tabung Pusingan Modal bagi tujuan pembuatan bot tradisional.
Ariffin yang juga Adun Alor Limbat berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan bagi memelihara dan memberi sinar kepada perusahaan pembuatan bot tradisional di Pulau Duyung melalui pelan penyelarasan kolaborasi produk-produk pelancongan pesisir Sungai Terengganu.
Katanya, kolobrasi itu melibatkan pelbagai produk pelancongan pesisir air sekitar Bandaraya Kuala Terengganu termasuklah Shah Bandar, Pesisir Payang, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Warisan, Kampung Budaya Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI), dan lain-lain bagi memartabatkan industri pembuatan bot tradisional di negeri ini. – HARAKAHDAILY 30/11/2023











