PRK Kemaman: Felda, Ketengah jadi sasaran kempen Umno

Mohd Hafiz Adam
- Advertisement -

KEMAMAN: Bagi mencapai misi mengurangkan majoriti PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini, Umno dikatakan memberi tumpuan khusus di kawasan Felda dan Ketengah bagi mempengaruhi pengundi.

- Advertisement -

Manakala di kawasan kampung tradisional, bandar dan pekan kurang diberi perhatian memandangkan kawasan terbabit didominasi PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Di kawasan parlimen Kemaman terdapat empat kawasan Felda iaitu Felda Neram Satu dan Neram Dua di Dun Air Putih. Selain itu Felda Kerteh Lima dan Kerteh Enam di Dun Kemasik.

Manakala di Dun Kijal pula terdapat kawasan Felcra di Sri Bandi. Kemaman juga terletak di kawasan pentadbiran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Agensi kerajaan Pusat itu berpusat di Muktafi Billah Shah meliputi kawasan pentadbiran satu pertiga daripada keluasan Terengganu.

Felda, Felcra dan Ketengah yang merupakan agensi kerajaan Persekutuan yang terdapat di Terengganu menjadi sasaran kempen Umno dan Pakatan Harapan (PH).

Malah difahamkan Umno dari luar Terengganu turut tertumpu di kawasan Felda bagi meraihkan semula undi masyarakat peneroka selepas beralih kepada PAS sejak PRU 2018.

Menurut penduduk tempatan di Felda Kerteh, Umno berkempen bermati-matian di kawasan Felda dengan harapan dapat meraih semula sokongan seperti sebelum 2018.

Namun katanya Umno berdepan dengan situasi agak sukar memandangkan generasi kedua dan ketiga peneroka Felda lebih terbuka dan kritis terhadap kerajaan Pusat ekoran pelbagai isu yang berlaku sekarang.

“Sebelum ini diakui Felda menjadi kubu kuat Umno sejak tanah rancangan Felda diwujudkan, namun sekarang tidak lagi kerana masyarakat peneroka mulai sedar.

“Mereka juga tidak boleh lagi diugutkan seperti sebelum ini. Kalau dahhulu macam-macam ugutan dihala terhadap peneroka termasuk mahu disingkir daripada Felda kalau tidak menyokong Umno.

“Sekarang ugutan seperti itu tidak dihiraukan peneroka, memandangkan generasi pertama yang ada sekarang sudah tidak ramai lagi,” katanya di sini.

Ketika ditanya mengenai situasi di Felda, Adun Air Puteh Mohd Hafiz Adam berkata, terdapat kira-kira 20,000 pengundi dalam kalangan warga peneroka Felda di Kemaman.

Kata beliau sebelum penamaan calon lagi difahamkan pengurus tanah rancangan Felda dan Ketengah diarah turun ke Unit Daerah Mengundi (UDM) di kawasan pentadbiran mereka.

“Program-program ceramah membabitkan pemimpin Umno diadakan di kawasan UDM di kawasan Felda dan Ketengah,” katanya ketika ditemui di sini.

Wakil calon PAS Ustaz Hazri Jusoh pula berkata, tumpuan gerak kempen Umno dan PH sekarang lebih banyak tertumpu di kawasan Felda dan Ketengah di Kemaman selepas kurang sambutan di lokasi lain.

Kata beliau Umno mempunyai kuasa penuh ke atas Felda dan Ketengah memandangkan pengerusi kedua-dua agensi terbabit merupakan pemimpin Umno Terengganu.

Felda dipengerusikan ahli jawatankuasa Umno Kemaman Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, manakala Ketua Umno Kemaman Dato’ Seri Ahmad Said pula Pengerusi Ketengah. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -