‘Fast track’ SPM: KOMTAQ memeterai MoU dengan KIAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Prestasi dan kecemerlangan Kolej Universiti Islam Ismail Petra (KIAS) dalam bidang pendidikan telah menarik minat Kompleks Tahfiz Al Quran Al Qaradhawi (KOMTAQ) untuk memeterai perjanjian persefahaman (MoU).

- Advertisement -

Perjanjian itu berhubung kerjasama pintar pendidikan bagi graduan huffaz dalam persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi KOMTAQ, Ir Ts Khairil Nizam Khairudin, berkata MoU berkenaan dibuat antara pihaknya dengan KIAS kerana yakin potensi institut pendidikan tinggi (IPT) berkenaan yang telah berjaya mencipta nama yang tersendiri.

Menurutnya, pada masa sama tawaran kemasukan pelajar melalui program fast track SPM memberi ruang lepasan pelajar pondok atau tahfiz untuk mendapatkan SPM secara ekspres antara yang menarik perhatian pihaknya.

“Pengurusan yang cemerlang ini akan memberi peluang pada pelajar tahfiz yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi menjadi lebih mudah setelah mengikuti pengajian SPM secara ekspres.

“Kerjasama ini akan menjadikan Komtaq sebagai one stop center di Pahang bagi pelajar tahfiz dan turath yang ingin mengembangkan daya saing mereka dalam bidang pendidikan dan kerjaya lain dengan mengambil SPM ekspres di sini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis itu, baru-baru ini.

Pada majlis itu, KIAS telah diwakili Rektornya, Prof Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin manakala KOMTAQ pula diwakili mudirnya, Ustaz Kamal Ashaari dengan disaksikan Ketua Pegawai Korporat KIAS, Muhammad Amiri Ab Ghani dan Khairil Nizam.

Hadir sama ialah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik & Penyelidikan KIAS), Dr Mohd Ramizu Abdullah dan Pendaftar KIAS, Mohd Khairil Hazmie Yusof.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Khairil Nizam berkata fahaman masyarakat yang masih menganggap sekolah tahfiz tidak ada masa hadapan yang baik, perlu diperbetulkan sebagai usaha menarik minat lebih ramai pelajar belajar di situ.

Katanya, amat malang sekiranya golongan teknokrat boleh yakin dan mempercayai kehebatan pengajian tahfiz, namun masyarakat lain masih memandang sepi.

Menurutnya, malah kerjasama itu dapat melahirkan profesional teknokrat, asatizah (agamawan) di samping profesional bagi menggabung jalin pendidikan ke arah yang lebih baik dalam membentuk masyarakat pada masa akan datang.

Sementara itu, Dr Ab Aziz pula mengucapkan terima kasih pada pihak Komtaq kerana sudi menjalinkan kerjasama untuk kepentingan masyarakat pada masa akan datang.

Beliau turut mengingatkan pihak yang ingin membuka pusat tahfiz supaya melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, sekiranya pusat tahfiz akan dibentuk di masjid, pihak jawatankuasa masjid perlu bersungguh-sungguh melaksanakannya.

“Bersesuaian dengan kemuliaan al Quran itu sendiri, jadi kalau nak laksanakannya kena bersungguh-sungguh, jangan separuh jalan.

“Masa hadapan pelajar tahfiz amat besar dan masyarakat amat memerlukan mereka sebagai pembimbing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -