RM3 juta promosi Tahun Melawat Kedah 2025

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi tujuan program dan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Not berkata, peruntukan tambahan RM1 juta turut disediakan untuk projek pembangunan, kerja baik pulih dan naiktaraf kemudahan pelancongan.

“Kerajaan negeri mengambil langkah ke hadapan dengan menganjurkan Tahun Melawat Kedah 2025.

“Ia juga sebagai langkah persediaan ke arah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada pembentangan Bajet Kedah 2024, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Jelasnya lagi, majlis pelancaran logo, slogan dan video promosi Tahun Melawat Kedah 2025 akan diadakan pada 2024.

Pelancaran itu menurut beliau untuk meningkatkan promosi menerusi jalinan strategik bersama media arus perdana serta media sosial bagi mendapatkan pasaran domestik dan antarabangsa.

Dalam masa yang sama pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi daya tarikan pelancong ke negeri ini terutama sebagai tarikan di mata dunia.

Justeru tambah Sanusi, aktiviti pengiklanan akan diperluaskan dengan pembangunan laman web dan aplikasi Visit Kedah 2025 bagi memastikan Kedah dikenali sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan, khazanah alam seperti pantai, gunung, desa dengan kepelbagaian flora dan fauna.

“Konsep Geotourism melalui Program Jejak Geopark yang melibatkan Geopark Global UNESCO Langkawi dan Jerai Geopark akan dipromosikan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri.

“Selain mengetengahkan kekayaan khazanah geologi, biodiversiti dan arkeologi yang menjadi keunikan alam semulajadi dan budaya yang ada di negeri ini,” katanya lagi.

Justeru, ujar beliau sebanyak RM300,000 turut disediakan dalam bentuk geran kepada usahawan pelancongan untuk mempromosikan Negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan pilihan pengunjung dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -