Jangan sukarkan penerima bantuan JKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang perlu mendaftar semula setiap awal tahun sehingga kadang-kadang menyukarkan mereka yang susah.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, penerima yang sedia susah terpaksa meninggalkan kerja mereka yang kais pagi makan pagi.

- Advertisement -

“Misalnya di tempat saya, kalau penduduk yang tinggal di Changkat Lobak, nak pergi ke pejabat JKM mungkin jaraknya hampir 25 kilometer sudah tentulah memerlukan kos dan sebagainya.

“Soalan saya kenapa tidak boleh kita mengarahkan ketua kampung, penghulu untuk membantu, jadi tidak perlu mereka datang sendiri ke pejabat kebajikan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris yang juga Naib Presiden PAS berkata, perkara yang berlaku di lapangan seperti masyarakat yang miskin amat memerlukan wang segera seperti untuk tambang kos kereta, rawatan susulan pakar di hospital dan hantar anak ke universiti.

“Persoalan saya, ada atau tidak tabung kecemasan untuk mereka yang memerlukan ini supaya mudah mereka pergi meminta untuk mendapat bantuan kecemasan.

“Pengalaman saya di pusat khidmat terpaksa memberikan permohonan mereka memerlukan walaupun sebagaimana yang kita maklum, kita tidak ada peruntukan.

“Saya baru sahaja tadi masuk RM950, (itu) seminggu, boleh katakan setiap minggu perbelanjaan untuk mereka ini RM1,000 hingga RM2,000, tentulah perbelanjaan ini terpaksa kita korbankan daripada apa yang kita beri tapi itu sekadar yang kita mampu untuk beri,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2023

- Advertisement -