
KEMAMAN: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad yakin PAS dapat mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember nanti melalui calonnya, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut beliau, Dr. Samsuri telah dikenali oleh seluruh rakyat Terengganu hampir 6 tahun dengan track record sebagai Menteri Besar yang baik.
“Kita tidak banyak bekerja untuk memperkenalkan calon kita. Beliau sudah dikenali, kebajikan rakyat dijaga di samping prestasi pentadbiran yang cukup baik.
“Orang Kemaman sangat beruntung dapat calon parlimen yang merupakan Menteri Besar yang akan menjadi nilai tambah untuk rakyat di Kemaman untuk mendapat pembangunan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman, di dewan Majlis Perbandaraan Kemaman, Chukai, di sini.
Selain itu kata Ahli Parlimen Bagan Serai, ini merupakan mesej PAS bahawa Terengganu menjadi sifar pembangkang khususnya Pakatan Harapan yang telah ditolak oleh rakyat Terengganu.
Bagaimanapun, beliau menyeru kepada seluruh pengundi parlimen Kemaman jangan over confident tetapi kena pastikan majoriti PAS mesti ditingkatkan lagi.
“Ini harapan kita, di samping berusaha kita kena berdoa kepada Allah SWT untuk kemenangan pada PRK ini,” katanya.
Beliau yakin pengundi akan keluar beramai-ramai pada hari pengundian 2 Disember nanti.
PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.
Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.
Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih. – HARAKAHDAILY 18/11/2023











