
KUALA LUMPUR: DAP dicabar mengambil tindakan undang-undang terhadap Barisan Nasional (BN) yang secara jelas mengaitkan parti tersebut dengan ideologi Komunis dan Parti Komunis Malaya (PKM).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, butiran berkenaan terkandung dalam dokumen khas ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ yang diterbitkan menjelang kempen PRU15 lalu.
Beliau mengemukakan halaman buku tersebut dari muka surat 129 dan 130 dengan topik ‘Fahaman Komunis’ yang menyentuh persamaan perjuangan DAP dan PKM serta salasilah keluarga Pengasas PKM, Chin Peng.
“Beliau (Chin Peng) merupakan sepupu kepada Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Pengerusi DAP. Pengerusi DAP Perak, Ngeh Ko Ham dan Ngeh Kor Meng, dia tulis salah ni (dipercayai merujuk kepada Nga Kor Meng) adalah anak saudara kepada Chin Peng.
“Anthony Lock DAP Negeri Sembilan adalah anak dua sepupu kepada Chin Peng. Teresa Kok adalah sepupu kepada isteri Lim Kit Siang. Tony Pua adalah anak supupu kepada Lee Kuan Yew. Nizar Jamaluddin juga sepupu Ngeh dan ada lagilah.
“DAP mahukan Komunis diiktiraf dan sebagainya,” ujarnya membacakan sebahagian kandungan di muka surat tersebut pada sidang media di Lobi Parlimen sebentar tadi.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin mengesahkan bahawasanya buku tersebut diberi pada PRU15 lalu iaitu sebelum penamaan calon kepada semua Jentera Kempen Umno.
Beliau yang meletak jawatan dan keluar Umno pada 17 Disember tahun lalu itu secara sinikal membidas DAP kerana sejak sekian lama tidak pernah mengambil tindakan terhadap Umno berkaitan isu Komunis.
“Saya menyarankan DAP ambil tindakan terhadap BN kerana saya rasa yang selalu menghina, cakap macam-macam tentang DAP adalah daripada Umno-BN,” cabar beliau membidas tindakan DAP terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
Datuk Wan Saiful turut mempersoalkan DAP yang disifatkannya suka mengambil tindakan secara terpilih dan mendesak parti itu serius menafikan kaitan mereka dengan perkara itu menerusi langkah perundangan.
“Ambil tindakan undang-undang dan mengarahkan ataupun mendesak supaya BN minta maaf kepada DAP. Saya nak menegaskan bahawa buku ini, dokumen ini, propaganda ini disebarkan sebagai bahan kempen BN.
“(Iaitu) dalam satu program anjuran BN kepada pemimpin-pemimpin BN di peringkat akar umbi. Kalau DAP nak menafikan saya mencabar. Saya mencabar YB Lim Guan Eng ambil tindakan undang-undang kepada BN.
“Jangan amalkan pendakwaan ataupun tindakan saman secara terpilih,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023











