
PERPADUAN merupakan asas terpenting di dalam kehidupan sesebuah negara apatah lagi kehidupan masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Di Malaysia, kita memiliki pelbagai bangsa Melayu, Cina India, Kadazan, Dusun, Dayak dan lain-lain. Termasuk juga kita memiliki pelbagai agama yang dianuti oleh rakyatnya. Cuma satu perkara yang kita terlepas pandang adalah berkaitan isu majoriti dan minoriti. Di Malaysia, Melayu Bumiputera adalah majoriti, Agama Islam adalah agama majoriti rakyatnya dan kedudukannya termaktub di dalam Perlembagaan.
Soalan saya, apa perancangan kerajaan untuk memupuk semangat saling menghormati antara kita dari kalangan orang dewasa, belia malah pelajar di negara kita khususnya dengan memberi penekanan kepada golongan majoriti agar menghormati golongan minoriti dan yang lebih penting dari itu golongan minoriti menghormati golongan majoriti yang ada di negara kita.
Peruntukan bajet untuk perpaduan pada tahun ini berlaku pengurangan yang agak besar iaitu RM178,879,000 berbanding tahun lalu yang berjumlah RM203,380,600. Saya agak pelik kenapa berlaku penurunan, padahal perilaku-perilaku yang tidak harmoni makin banyak berlaku dalam kalangan rakyat negara kita terutamanya di dunia maya. Hampir setiap hari kita menyaksikan ada sahaja ciapan yang dimuat naik berunsur bibit-bibit perpecahan dari netizen. Saya berpendapat, jika bibit perpecahan itu datang dari media sosial, maka kerajaan perlu memberi penekanan yang lebih kepada ‘lubuk’ rakyat negara kita menghabiskan waktu ini. Saya lihat, pada akaun Facebook dan Instagram kementerian perpaduan nasional, agak hambar jumlah pengikut, like dan share. Saya cuba mencari akaun TikTok dan X (Twitter) Kementerian Perpaduan namun tidak ditemui walhal pada saya dua platform ini, perlu diberi penekanan lebih berkaitan mesej perpaduan. Perbahasan Parlimen semalam juga menjadi hangat rentetan satu ciapan dari seorang Menteri pada akaun media sosial beliau. Peristiwa semalam sudah jelas akan peri pentingnya Kerajaan memberi penekanan lebih pada platform X.
Isu Palestin ini mungkin bagi sebahagian rakyat atau mungkin sebahagian Ahli-ahli Parlimen, ia adalah isu kemanusiaan akan tetapi bagi kami orang Islam di pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan, ia jauh lebih dari itu. Mereka adalah saudara kami, adik beradik kami dan mempunyai hubungan rapat dengan kami. Jadi janganlah sesiapa menyentuh apa-apa yang boleh mengguris hati majoriti rakyat dalam negara ini.
Persoalan saya, apakah perancangan kerajaan untuk mengoptimumkan penyampaian mesej perpaduan dalam dunia maya. Perbezaan adalah punca kepada seringnya berlaku perselisihan. Perbezaan bukan sahaja bangsa, etnik, bahasa dan agama namun dalam kategori-kategori lain. Aliran agama ada perbezaannya, masyarakat bandar dan masyarakat luar bandar ada perbezaannya, tahap pendidikan ada perbezaannya.
Persoalan saya yang kedua, apakah inisiatif Kerajaan untuk mengharmonikan perbezaan-perbezaan dalam setiap kategori yang ada dalam negara kita selain program integrasi kaum?
Seterusnya, apakah perancangan kerajaan untuk mempromosikan semula muzium-muzium di Malaysia ini agar Ia menjadi tarikan dan seterusnya menjadi sebahagian dari elemen pembentukan jati diri rakyat Malaysia? Ini kerana banyak muzium yang terdapat di Malaysia tetapi semakin sepi akibat kekurangan promosi dan kurang menjadi tarikan. Apakah pendirian kerajaan mengenai isu ini? Mungkin boleh diubah semula muzium ini di bawah Kementerian Pelancongan seperti cadangan Pasir Mas. Justeru itu, saya mengharapkan agar pihak kementerian dapat memberi perhatian terhadap cadangan yang telah dikemukakan oleh saya dan pertimbangan yang sewajarnya untuk menambah baik perkhidmatan dan kesedaran kepada rakyat.
YB USTAZ MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Ahli Parlimen Permatang Pauh – HARAKAHDAILY 8/11/2023











