Wajibkan majikan buka pusat jagaan kanak-kanak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keperluan mendesak untuk tempat kerja mempunyai pusat jagaan kanak-kanak menyebabkan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) meminta kerajaan menyatakan sejauh mana usaha dilakukan untuk mewajibkan majikan berbuat demikian.

Katanya, antara punca wanita muda tidak mahu bekerja kerana bimbang kemaslahatan anak-anak apabila ditempatkan di pusat jagaan yang agak jauh dari tempat bekerja.

- Advertisement -

“Jadi sejauh manakah kolaborasi Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewajibkan majikan mengusahakan pusat jagaan, sama ada di tempat kerja atau lokasi berdekatan tempat kerja.

“Ini untuk membolehkan pekerja wanita dapat memantau perkembangan anak-anak dengan lebih dekat dan mengambil tindakan segera jika berlaku kes kecemasan membabitkan anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, sektor swasta masih belum diwajibkan membuka pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua.

“Melalui TalentCorp, beberapa usaha iambil untuk menggalakkan majikan, terutama sektor industri menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -