Solidariti Palestin: Senjata mainan hanyalah simbol semata

- Advertisement -

NABI Muhammad S.A.W mengajar kita umat akhir zaman ini bahawa anak-anak itu umpama kain putih. Ibu bapa yakni orang dewasalah yang mencorak (pemikiran dan peribadi) mereka.

Reaksi anak-anak pelajar yang tular memegang alat mainan senjata sempena Minggu Solidariti Palestin telah diheret segelintir politikus skeptikal menjadi isu.

Sedangkan ia tidak lebih sekadar simbolik kepada semangat dan rasa bersama kepada perjuangan Palestin, selain penolakan terhadap penjajahan dan kezaliman dilakukan Zionis-Israel.

Terlalu cepat melatah mengaitkan anak-anak yang berfitrah bersih itu dengan dogma keganasan dan kebencian hanyalah menyerlahkan sisi prejudis melampau pihak-pihak penuduh.

Walhal yang dipupuk sempena solidariti itu sebenarnya adalah nilai kemanusiaan dan empati yang tinggi. Rasa keprihatinan, kasih sayang dan bermaruah, selain mendorong pemikiran kritis yang sejagat.

Sepatutnya kita berbangga dan terus menyuntik perhatian mereka itu menjadi sifat atau jati diri yang mahu memperjuangkan kebenaran dan keamanan serta pelbagai usaha positif lainnya.

Musykil sekali, para politikus yang bermentaliti negatif itu tidak pula pantas bersuara tatkala anak-anak dan bayi di Palestin menjadi sasaran senjata pembunuh Israel. Di mana kelantangan kalian, bisu?

Mana perjuangan hak asasi kalian laungkan bila Human Rights Watch dan Amnesty International mengesahkan kezaliman Israel adalah satu genosid dan aparteid? Kalian malu bersuara?

Hentikanlah kedengkian dan muslihat tersembunyi, serta adu-domba dan sikap berlebih-lebihan kalian. Setidak-tidaknya lontarkanlah alternatif untuk menggiatkan lagi solidariti tersebut. 

Jika tidakpun menaja, boleh sahaja kalian cadangkan acara seperti tayangan video, kuiz, pertandingan poster dan penggunaan aplikasi semasa seperti Canva dan TikTok.

Atau sumbangkan buku seperti Komik Gaza, Diari Hebron, Light in Gaza atau undang pempengaruh ikon Palestin negara ini seperti Heliza Helmi, Nadir an-Nuri, Cikgu Zyd Roblox, Dr Sani Araby dan ramai lagi.

Beritahu anak-anak itu mengenai sakitnya rasisme Yahudi-Zionis sehingga meletuskan penjajahan dan bencana serta derita peperangan. Bukannya kalian pula menganjurkan perang terhadap para murid itu dan guru mereka.

Oleh kerana dalam solidariti ini tiada panduan jelas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum acara itu, maka pastikan tiada tindakan punitif diambil terhadap seluruh warga sekolah tersebut.

YB USTAZ NUSHI DATO’ MAHFODZ
ADUN Selangor
N.24 Semenyih – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -