Akta Pembangunan Semula Bandar: Perlu, tetapi…

Satu keperluan tetapi mesti berhati-hati

- Advertisement -

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam proses menyediakan satu akta baharu, khusus berkaitan pembaharuan semula bandar, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Katanya di antara tujuan-tujuan akta ini adalah untuk memastikan pembangunan semula dilaksanakan dengan lebih sistematik, terancang dan cekap.

Hari ini tidak ada satu perundangan khusus dan sebarang pembaharuan yang hendak dilaksanakan akan merentasi bidang tugas pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Terdapat sembilan perundangan khusus yang perlu diambil kira jika pembaharuan semula bandar hendak dilaksanakan. Di antaranya Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa, Akta Hakmilik Strata, Akta Pengambilan Tanah dan Akta Pengurusan Strata.

Menteri tersebut berkata sedemikian 4 September yang baru lalu pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar di Putrajaya.

Pembangunan semula tidak dapat dielakkan kerana terdapat kawasan-kawasan bandar dan penempatan yang telah usang dan tidak berbaloi untuk dibaikpulih atau diselenggara.

Contohnya rumah-rumah kedai yang telah tidak dipedulikan lagi oleh pemilik-pemiliknya ketika kawasan di sekelilingnya telah pesat membangun. Atau pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang telah usang dan pemilik-pemilik tidak berkemampuan untuk membaikpulihnya.

Terdapat banyak tujuan pembangunan semula di antaranya adalah:

1. Menyediakan kediaman atau premis perniagaan yang lebih sempurna selari dengan usaha-usaha menaiktaraf kualiti kehidupan penduduk.

2. Merombak semula perancangan di sesuatu kawasan sesuai dengan keperluan semasa atau pembangunan setempat.

3. Untuk menjana pulangan kewangan bagi membiayai projek-projek lain.

Dengan kekurangan lot-lot yang sesuai untuk pembangunan baharu, pembangunan semula tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun ia perlu dikawal agar pembangunan baharu dapat berjalan lancar dan yang paling penting kepentingan dan kebajikan penduduk adalah terjamin.

Tanpa garis panduan yang jelas, proses membangunkan semula akan menjadi perlahan malah mungkin gagal sama sekali. Mungkin terdapat penduduk yang menuntut penyelesaian yang tidak masuk akal sehingga menggagalkan projek.

Kepentingan penduduk mungkin juga tergadai sekiranya terdapat pemaju yang hanya mahu meraih pulangan kewangan yang tinggi. Mungkin terdapat juga pemaju yang cuba mengambil kesempatan di atas kejahilan penduduk dan akhirnya mereka tertipu.

Ketika bersama Kerajaan Negeri Selangor, saya berpengalaman dengan pembangunan semula yang diusahakan oleh sebuah GLC kerajaan negeri. Terdapat program pembangunan semula yang tidak dapat dilaksanakan kerana terlampau banyak tuntutan dari penduduk. Penduduk perlu mempertahankan hak mereka tetapi mereka perlu berpijak di bumi yang nyata. Pihak yang melaksanakan pembangunan semula juga mesti telus dan tidak semata-mata memikirkan pulangan kewangan. Golongan kapitalis sudah tentu akan meletakkan kepentingan rakyat di paling bawah justeru kerajaan dan lebih tepat lagi akta ini perlu bertindak untuk menjaga kepentingan penduduk.

Selaku Exco Perumahan saya turut diminta memberi nasihat oleh penduduk yang telah ditemui oleh pemaju yang mahu membangunkan semula kediaman mereka. Saya sentiasa menyarankan kepada penduduk agar tidak merasakan diri mereka kerdil apabila berhadapan dengan pemaju kerana kediaman mereka adalah aset yang penting. Mereka bukan peminta sedekah tetapi perlu dilibatkan di dalam proses pembangunan semula.

Dengan adanya Akta Pembangunan Semula, kepentingan semua pihak dapat dijaga. Justeru akta ini perlu mengambil kira pandangan semua pihak sama ada kerajaan, pemaju atau penduduk. Adalah lebih bermanfaat sekiranya satu perjumpaan ‘Town Hall’ sebelum akta ini dibawa ke Parlimen. Perjumpaan ini perlu melibatkan rakyat biasa di akar umbi dan bukan para profesional, pakar-pakar, pemaju atau wakil-wakil kementerian sahaja.

Sebarang pembangunan semula perlu memenuhi aspirasi rakyat untuk memiliki kediaman sendiri. Sekiranya kediaman kos rendah dirobohkan, ia perlu dilihat sebagai satu peluang untuk menambah stok rumah mampu milik. Pembinaan kediaman yang dapat menjadikan sesuatu projek pembangunan semula itu berdaya maju adalah satu keperluan namun kediaman mampu milik perlu diwajibkan melalui akta yang akan diluluskan.

Isu kaum adalah satu isu yang sensitif di negara kita. Pembangunan semula berupaya mengubah demografi di sesuatu kawasan. Sesuatu kaum yang pada mulanya menjadi majoriti di sesuatu kawasan boleh menjadi minoriti setelah pembangunan semula. Contohnya satu kawasan pembangunan kediaman kos rendah yang penduduk majoriti adalah orang Melayu. Tetapi jika dibangunkan semula dengan pembangunan kediaman kos tinggi maka tidak ramai orang Melayu yang mampu membeli di pembangunan yang baharu. Akhirnya orang Melayu tidak akan menjadi majoriti di situ. Sudah tentu kesannya juga adalah kepada politik setempat iaitu kepada komposisi kaum bagi kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Persoalannya, adakah Akta Pembangunan Semula ini akan mengambil kira faktor-faktor tersebut? Adakah akta ini sekadar untuk melicinkan pelaksanaan pembangunan semula tanpa memikirkan kesannya kepada keharmonian masyarakat? Atau adakah akta ini akan memberi pembelaan kepada penduduk asal atau mereka akan tercampak jauh ke hulu? 

Pembangunan semula akan memberi kesan kepada masyarakat kita untuk tempoh 30 atau mungkin 50 tahun di masa akan datang. Impaknya mungkin lebih besar dari impak penjualan tanah Boustead kepada KLK. Rakyat perlu sensitif kepada perkembangan yang berlaku. Rakyat perlu digalakkan untuk membincangkan isu ini secara aktif. Mereka juga perlu memberi tekanan kepada wakil-wakil rakyat mereka agar turut memainkan peranan yang aktif dalam isu ini. Tiada guna menangis setelah nasi menjadi bubur.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -