Memilih dan dipilih: PAS parti terbuka, namun berprinsip

- Advertisement -

SAYA ingin tampil menjelaskan kekeliruan yang mungkin sengaja digembar-gembur atau dipolemikkan kebelakangan ini oleh pihak bermotif tertentu. Iaitu mengenai keterbukaan PAS khususnya dalam konteks pemilihan kepimpinan parti yang dijalankan menerusi Mesyuarat Agung atau Muktamar PAS.

Ada pihak yang mendakwa PAS tersilap percaturan kerana tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti. Ada pula yang menganggap PAS sama sahaja dengan parti lain hingga menuduh kononnya mengawal proses pemilihan kepimpinan parti.

Saya berpandangan dan percaya semua ahli-ahli PAS juga berpandangan serupa; bahawa semua jawatan-jawatan di dalam PAS, termasuk jawatan tertinggi parti, adalah terbuka kepada semua pencalonan. Ia demokrasi yang cukup subur di dalam PAS. Ia bermula di Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Cawangan, kemudian ke MAT PAS Kawasan, seterusnya Muktamar Agung Tahunan PAS Pusat, termasuk Dewan-dewan.

Namun, ada pencalonan mungkin tidak mencukupi, ada juga tidak memenuhi syarat dan ada pula yang menarik diri. Atau berlaku pencalonan hanya nama yang sama oleh semua PAS Kawasan-kawasan dan Dewan-dewan, maka calon menang tanpa bertanding (MTB), sekali gus ‘tiada pertandingan’ jawatan berkenaan, bukan ‘tidak dipertandingkan’. Bermakna keputusan tidak berlaku pertandingan adalah keputusan yang dibuat oleh ahli.

Oleh itu, menang tanpa bertanding dengan menutup sebarang pencalonan adalah dua perkara yang berbeza. Tiada mana-mana peruntukan parti atau usul yang menghalang pencalonan bagi jawatan tertinggi berkenaan.

Paling penting, ia berlaku menurut lunas Perlembagaan PAS dan tatacara pemilihan yang dikelola mengikut garis diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Bahkan dijalankan penuh berprinsip tanpa berlaku pembelian undi, politik wang, ugutan, pergaduhan atau sebarang pelanggaran. 

Kerana semua di dalam PAS ditarbiyah bahawa jawatan adalah amanah, bukannya kemegahan atau kesempatan dan batu loncatan untuk meraih sesuatu yang lain. Bermakna di dalam PAS hak untuk memilih dan terpilih diberikan secara terbuka dan berprinsip. 

PAS sentiasa mengamalkan sikap terbuka sama dalam konteks menentukan kepimpinan dalaman parti sehinggalah kepada bentuk kerjasama dengan parti politik lain. Namun, keterbukaan ini diikat dengan prinsip perjuangan Islam yang menjadi dukungan utama parti.

Bermakna PAS memilih parti politik lain atau PAS dipilih oleh parti itu menjalin kerjasama; parti ini sentiasa mengamalkan sikap terbuka. Namun prinsipnya selagi ia demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air dan sah menurut undang-undang negara. Tetapi kepada pihak yang tidak berpegang kepada prinsip itu, PAS tidak akan memilih parti tersebut atau menerima dipilih parti tersebut untuk bekerjasama.

Alhamdulillah PAS terus melangkah meskipun sentiasa menjadi perhatian dan sasaran serangan musuh-musuh politiknya. Ketika ada pihak mengecam PAS menjadi punca keretakan gagasan Penyatuan Ummah, hakikatnya PAS menjadi pilihan utama masyarakat Melayu-Islam atas prinsip gagasan tersebut.

Bagi PAS Negeri Kedah sendiri, penganjuran Konvensyen PAS Kedah di Alor Setar pada Sabtu, 30 September baru-baru ini dengan penyerahan lebih 3,000 keahlian baharu membuktikan komitmen PAS dalam mengisi kemenangan yang dimandatkan rakyat serta mengukuhkan kemenangan pasca PRN15. Ia adalah gambaran keterbukaan parti ini yang menjadi pilihan orang ramai.

“Malaysia Sejahtera”

YB DATO’ USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 5/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -