
KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan berkenan berangkat ke Majlis Solat Hajat Dan Doa Selamat Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-54.
Majlis berkenaan diadakan di Masjid Muhammadi Kota Bharu di sini malam tadi. Turut berangkat Tengku Bendahara Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nasruddin Daud dan timbalannya Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Kelantan Dato Nazran Muhamad, , pimpinan kerajaan negeri, Kerabat-Kerabat D’Raja Kelantan serta Pegawai Kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Solat hajat dipimpin Mufti Kelantan, Datuk Mohd Syukri Mohamed, manakala doa oleh Imam Besar Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
Sempena keputeraan Sultan Kelantan yang ke-54 tahun ini juga Tengku Mahkota Kelantan berkenan berangkat ke Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin Hari Haul yang diadakan di Makam D’Raja Langgar, Kota Bharu.
Menyambut keberangkatan tiba baginda Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Temenggong Kelantan, Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan negeri serta lain lain pemimpin kerajaan dan kerabat kerabat diraja Kelantan. – HARAKAHDAILY 29/9/2023











