Nasib penduduk terjejas banjir dapat perhatian

Wakil PKWR DUN Mata Ayer, Syahrulnizam Mat Sani (kanan), menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Titi Besi.
- Advertisement -

ARAU: Cuaca cerah hari ini, melegakan penduduk di sekitar Arau dan Padang Besar yang rumah mereka dilanda banjir, semalam selepas hujan tanpa henti sejak Sabtu lalu.

Sehingga semalam, 11 keluarga dari Kampung Titi Besi di sini, dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan.

- Advertisement -

Namun, nasib penduduk yang terpaksa berpindah mendapat perhatian Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer apabila wakil PKWR meninjau keadaan mereka serta menyampaikan sumbangan berupa makanan kering, kira-kira jam 9 malam tadi.

Wakil PKWR, Noorhafiza Mansor berkata, keadaan banjir yang melanda beberapa kampung semakin surut.

“Hasil tinjauan keadaan rumah penduduk yang terjejas di sekitar Mata Ayer, Alhamdulillah ada tempat yang keadaan air semakin surut, tapi jenuh nak mengemop lantai pula selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, seramai 70 mangsa dari Kampung Titi Besi dilaporkan terjejas.

Menurutnya, pihak berkuasa mengambil pendekatan segera bagi menangani banjir di Kampung Ulu Pauh dengan menyalurkan air dari Sungai Alor Melaka ke Sungai Arau.

“Itu adalah antara pendekatan yang kita kenal pasti untuk dilaksanakan segera bagi memastikan sistem saliran tidak terganggu susulan keadaan hujan berterusan,” katanya selepas membuat tinjauan situasi banjir di kawasan DUN Pauh di sini, semalam. – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -