Rasuah: Rakyat perlu bangkit tentu hala tuju negara

Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

MUAR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cabaran yang ada pada waktu ini ialah untuk membina keyakinan terhadap negara.

- Advertisement -

Ini, katanya kerana beberapa isu termasuk yang berkaitan dengan pertuduhan rasuah terhadap pemimpin tertentu telah menjejaskan maruah negara kepada masyarakat luar.

“Pihak pendakwaan tidak meneruskan kes terhadap pendakwaan kepada Timbalan Perdana Menteri, ini soal maruah negara,” ujarnya dalam ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL Simpang Jeram, di sini, malam tadi.

Yang turut berucap ialah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Ketua Penerangan PN Pusat, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pesuruhjaya PAS Johor, Presiden NGO Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan calon PERIKATAN NASIONAL, Dr Mazri Yahya.

Bagi beliau, sama ada Cina, India, Melayu dan seluruh rakyat, perkara itu berkait dengan maruah dan hala tuju negara.

“Ini soal maruah negara, hala tuju negara, keyakinan orang kepada sistem perundangan kita. Ada prima facie, ada kes, telah bawa, boleh tak didakwa,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan pemimpin DAP yang meminta Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan kenapa pendakwaan kes itu tidak diteruskan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan tindakan DAP itu kerana pada waktu itu siapa yang hendak membuat kenyataan.

“Peguam Negara bercuti, tempoh khidmat tamat, Peguam Negara baharu belum dilantik, 6 Sept baru dilantik, waktu itu arahan siapa,” ujar beliau.

Justeru, beliau yakin semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain akan bangkit untuk membina keyakinan terhadap masa depan negara di sebalik pemimpin DAP yang senyap dalam isu itu.

“DAP kata bangkit pertahan integriti, negara perlu maruah, mana ada, bila berlaku demikian kenapa senyap,” katanya.

Tambahnya, bagi PERIKATAN NASIONAL ia merupakan perkara yang penting terhadap masa depan negara bukan kerana melibatkan seorang dua tokoh sahaja.

“Bagi kita penting bukan kerana satu dua tokoh tapi hala tuju ke mana yang kita nak bawa negara.

“Cabaran yang ada depan kita pada waktu ini ialah membina keyakinan terhadap masa depan negara kita,” ujarnya lagi.

Mengenai situasi PRK Simpang Jeram, beliau melihat angin perubahan yang sangat mengujakan.

Katanya, ia jelas terlihat ketika suasana di sekitar ceramah malam tadi.

“Insya-Allah, rakyat DUN Simpang Jeram akan memberi kepercayaan kepada calon PERIKATANA NASIONAL, Dr. Mohd Mazri Yahya untuk membawa mandat mereke ke Dewan Undangan Negeri.

“Terima kasih juga kepada semua hadirin yang hadir semalam sebagai tanda sokongan kepada PN. PN BEST!,” ujarnya dalam hantaran di Facebook. – HARAKAHDAILY 8/9/2023

- Advertisement -