
MUAR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memilih pemimpin adalah syarat utama yang digariskan oleh Allah kepada manusia.
Menurutnya, ciri pemimpin yang digariskan oleh Allah SWT adalah supaya manusia tahu bagaimana sifat pemimpin yang perlu dipilih.
Beliau berkata mereka yang diberi kuasa pemerintahan di atas muka bumi ini hendaklah mendirikan sembahyang.
Tambahnya, selain itu pemimpin perlu menjaga hubungan dengan Allah.
“Jika dengan Allah tidak boleh dijaga, mana mungkin mereka boleh menjaga hubungan dengan makhluk Allah,” katanya semasa berucap pada ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL Simpang Jeram, di sini, malam tadi.
Yang turut berucap ialah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Ketua Penerangan PN Pusat, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pesuruhjaya PAS Johor, Presiden NGO Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan calon PERIKATAN NASIONAL, Dr Mazri Yahya.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, pemimpin juga mesti mempunyai sifat mengeluarkan zakat.
Beliau berkata, pemimpin bukan sahaja membantu dalam kalangan orang yang susah dalam bangsa sendiri tetapi kepada semua yang perlu ditunaikan hak mereka.
“Sebab itu Islam mewajibkan yang kaya ada hak kepada orang yang miskin dan kemiskinan tidak memilih warna kulit bahkan agama,” katanya.
Menurut beliau Islam menggariskan supaya pemerintah perlu berlaku adil kepada semua sama ada Islam atau bukan Islam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu melahirkan kebimbangan dengan senario politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini.
Beliau berkata, dunia telah mempertikaikan apa yang sedang berlaku di negara ini berikutan kelemahan pemerintah dalam banyak perkara termasuk isu rasuah.
Katanya, para pelabur juga bimbang untuk melabur di negara ini kerana nilai integriti yang rosak dan musnah.
“Kita perlu membina keyakinan dengan melahirkan pemimpin yang bertakwa yang melaksanakan agenda yang bukan semata-mata membangunkan negeri dan rakyat.
“Dalam waktu yang sama kita perlu membina keyakinan di kalangan ummah, perlu membina tanggungjawab dan melaksanakannya,” ujarnya.
Menurut beliau, semua manusia mengharapkan sebuah sistem yang adil.
Beliau berkata, pihak yang melaksanakan tanggungjawab itu juga perlu berlaku adil kepada semua kerana itu manusia ada pertimbangan dosa dan pahala.
“Ada pertimbangan hari akhirat, hidup semula selepas mati supaya manusia tidak kecewa dengan apa yang diterima ketika di dunia yang mungkin tidak boleh seratus peratus adil.
“Berpuluh tahun membuat kebaikan, kita tidak akan dapat sebarang imbuhan di dunia. Namun di akhirat, perbuatan baik dibalas begitu juga perbuatan salah juga akan dihukum,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2023











