Kembalikan tanah rakyat yang berhak

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 82)

- Advertisement -

Ibn Ayyash berkata: Suatu hari Umar bin Abdul Aziz r.a. keluar dari rumahnya di atas seekor baghal sambil membawa senjata. Beliau memakai baju yang lusuh, datang seorang lelaki di atas unta, lalu unta duduk. Lelaki itu bertanya tentang Umar. Dikatakan kepadanya: “Umar telah keluar. Sekarang dia balik”.

Umar kembali dan bersamanya seorang lelaki. Dikatakan kepada lelaki itu: Ini Umar Amir al-Mukminin. Lelaki itu bangun menuju Umar. Beliau mengadu mengenai kes tanah dengan Adiy bin Artot.

Umar berkata:

 أما والله ما غرنا إلا بعمامته السوداء، أما إني قد كتبت إليه فضل عن وصيتي إنه من أتاك ببينة على حق له فسلمه إليه، ثم قد عنّاك إليّ

“Demi Allah! Kita tidak tertipu melainkan dengan serban hitamnya. Aku telah menulis kepadanya, tetapi dia tidak ikut pesananku. Sesiapa yang datang kepadamu membawa saksi terhadap suatu hak kepunyaannya, maka serahkan hak itu kepadanya. Kemudian dia mengadu kepadaku?”

Umar arahkan supaya dikembalikan tanah itu kepadanya. Umar bertanya kepada lelaki itu: Berapa banyak wang engkau belanjakan untuk datang ke mari? Lelaki itu menjawab: Wahai Amir al-Mukminin! Engkau bertanya aku berapa aku belanja, sedangkan engkau telah mengembalikan tanahku. Ia lebih baik dari 100,000. Umar berkata: Aku kembalikan hakmu. Beritahu kepadaku, berapa yang engkau belanjakan? Lelaki itu menjawab: Aku tidak tahu. Umar berkata: Cuba agak. Beliau menjawab: 60 dirham. Umar memerintahkan supaya dibayar dengan duit Baitulmal.

Tatkala lelaki itu berpaling, Umar berteriak memanggilnya. Beliau kembali. Umar berkata: Ambil 5 dirham ini dari hartaku. Kamu gunakannya untuk makan daging hingga kamu kembali kepada keluargamu insya-Allah. (Sirah Umar bin Abdul Aziz, Ibn Abdul Hakam ms 146-147)

Umar bin Abdul Aziz seorang pemerintah yang adil, zuhud, warak dan hebat. Akhlaknya benar, bukan lakonan ketika pilihan raya berlaku. Kebaikannya kepada rakyat hebat, bukan dibuat-buat.

Beliau sanggup menaiki kenderaan yang lekeh dengan pakaian yang lusuh. Dalam konteks semasa, barangkali ia kurang sesuai untuk dipakai oleh seorang yang berjawatan tinggi. Imej juga perlu dijaga.

Kaedah ada menyebut:

تغير الاحكام بتغير الازمان

Maksudnya: Hukum boleh berubah dengan perubahan masa.

العادة محكمة

Maksudnya: Adat (kebiasaan setempat) boleh menjadi hukum.

Lagipun ia tidak termasuk dalam kaedah prinsip agama yang rigid. Yang penting, zuhud itu di dalam hati, bukan di dalam tangan. Warak itu pada tingkahlaku dan sikap yang benar, bukannya diam ‘dok care ke orang’ – kata orang Terengganu. Yang penting juga, berpakaian dan berkenderaan itu biarlah yang sederhana, sesuai dan tidak mewah melampau.

Isu tanah adalah isu sejagat, berlaku di zaman silam hingga kini terus melarat. Mengurus penyelesaiannya mestilah untuk rakyat. Kesnya kekadang rumit dan agak tenat. Namun, tidak boleh dibiar rakyat terus merempat. Mahu tidak mahu, perlu diselesaikan, lambat atau cepat. Yang gigih berusaha tentulah wakil rakyat. Siang malam berusaha tanpa lelah dan penat. Mereka mahu negeri ini terus maju dan berkat agar Allah tidak menurunkan laknat.

Dalam konteks di negeri Terengganu, kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri (foto atas) telah berusaha sebaik mungkin mengembalikan tanah terkilan kepada rakyat pada penggal lepas. Pada penggal ini insya-Allah kerajaan akan terus berusaha, bukan sekadar isu berkaitan tanah, tetapi juga isu-isu kebajikan rakyat yang banyak.

Umar mengembalikan tanah itu kepada empunyanya. Bukan sekadar itu, ditambah lagi dengan kos perbelanjaan datang kepada Umar dan wang saku dari Umar sendiri untuk beli makanan hingga kenyang. Akhlak sebegini sangat baik untuk diikuti. Namun, siapa yang mahu menuruti? – HARAKAHDAILY 30/8/2023

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah Badan Perhubungan PAS Terengganu.

- Advertisement -