Bekas menteri gesa kaji semula pindah guru KAFA

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibayar elaun yang tidak seberapa, tiba-tiba Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) difahamkan mahu melakukan penstrukturan semula.

- Advertisement -

JAIS pada kenyataan sebelum ini dilapor mahu memindahkan 125 guru KAFA dari Sabak Bernam dan Kuala Selangor ke daerah lain.

Bekas Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Idris Ahmad meminta pihak berkenaan mengkaji semula rancangan penstrukturan guru-guru KAFA.

Katanya kebanyakannya guru KAFA sebelum ini ditempatkan di sekolah kebangsaan pada jarak yang tidak jauh dengan rumah mereka.

“Dengan elaun yang diberi sekarang tentunya pemindahan itu bakal membebankan guru dari sudut kewangan dan kos sara hidup jika arahan tersebut diteruskan.

“KAFA merupakan satu mata pelajaran komplementari yang melengkapkan pendidikan agama kepada anak-anak di negara kita.

“Kita berharap agar pihak berkenaan dapat memperhalusi semula cadangan tersebut agar guru KAFA berada dalam suasana kerja yang tidak membebankan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai turut bimbang jika keputusan penempatan tersebut telah dimuktamadkan ia boleh memberi kesan kepada pembelajaran dan pengajaran murid.

Malah kata beliau sebahagian besar guru KAFA merupakan tenaga pengajar yang berpengalaman kerana sudah lama berkhidmat.

Justeru itu beliau berharap JAIS dapat memperhalusi semula cadangan penstrukturan tersebut bagi memastikan kebajikan guru-guru KAFA terjamin. – HARAKAHDAILY 30/8/2023

- Advertisement -