
“TAKKAN mereka tak tahu matematik, 10 jauh lebih banyak daripada empat. Jangan nak kata itu gelombang rakyat, temberang dia orang saja. Itu hanyalah ‘gelombang hijau’ yang tak sampai ke mana dan empat negeri itu sahajalah gelombangnya,”
Demikianlah kenyataan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan bila diminta mengulas ‘gelombang rakyat’ yang dibawa PN yang kini melanda negara.
Tak tahu sama ada kenyataan separuh tiang sebegini mahu kita tawa atau tangisi. Begitulah kroniknya ‘denial syndrome‘ atau sindrom penafian yang melanda khasnya kalangan pimpinan tertinggi Umno hari ini.
Dalam keadaan Umno cukup tercabar, tidak lagi menjadi parti teras mewakili suara umat Melayu, hampir hilang segalanya, boleh lagi menafikan kehadiran gelombang ini.
4 negeri yang Mat Maslan maksudkan itu semua negeri majoriti Melayu yang Umno pernah pimpin, tak terasa apakah bila Umno lesap tiada suara di tiga negeri itu dan hanya seorang wakil di Kelantan?
Umno mungkin masih duduk dalam kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang tapi cuma ada dua kerusi masing-masing sahaja. Umno yang dulu memimpin hari ini bertenggek pada kekuatan dan ihsan parti lain termasuk DAP.
Umno tahun 2004 dahulu punya 109 kerusi megah dan gagah, hari ini berbaki cuma 26 kerusi itu pun masih mahu berkokok dan dabik dada?
Rakyat tidak temberang tetapi meminjam kata-kata beliau sendiri telah ‘hancing dikencing’. Teruslah berada dalam mabuk penafian, rakyat telah tahu apa yang mereka mahu.
Bangkit berubahlah sahabat-sahabat, tinggalkan pimpinan yang bongkak dan sombong ini. Telur mengatakan lepang tak pandai duduk.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 28/8/2023




















