
KOTA BHARU: Pihak berkuasa agama Islam dan senator dari Thailand mengunjungi hormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Kelantan.
Rombongan dari negara jiran itu disertai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Baba Syafie dan Senator Nik Hasan.
Sejak dilantik sebagai ketua kerajaan negeri, Ustaz Nassuruddin tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikannya sebagai menteri besar.
Beliau turut menerima kunjungan rombongan NGO Muafakat Nasional (MN) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Annuar Musa. Hadir sama Timbalan-timbalan Presiden MN, Datuk Zuraida Kamaruddin, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan MN Kelantan.
Ustaz Nassuruddin berkata, beliau menghargai pelbagai pandangan dan komentar yang diajukan kepada kerajaan negeri untuk melihat Kelantan ke arah lebih baik.
“Kerajaan negeri terbuka menerima pandangan dari pelbagai pihak demi kepentingan rakyat,” katanya ketika meraikan rombongan MN, semalam.
Annuar pula berkata, kunjungan berkenaan bertujuan untuk mengucapkan tahniah kepada Dato’ Panglima Perang di atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu. – HARAKAHDAILY 28/8/2023




















