
MUAR: PAS tidak pernah takut untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin yang bermasalah walaupun terpaksa hilang kerusi.
Menurut Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ini adalah kerana PAS adalah sebuah parti yang berpegang kepada perhitungan pahala dan dosa.
“Pernah berlaku tahun 1969 bila kita menang masa itu dalam sembilan kerusi kalau tak silap saya, seorang Ahli Parlimen PAS pergi menari berjoget.
“Dalam parti kita tak boleh. Besok kita pecat dia daripada parti. Kita hilang satu kerusi, kita tetap berani. Parti lain tak ada disiplin ini. Kita ada disiplin, bila kita dapati ada (berlaku perlanggaran disiplin),” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS dalam pentadbirannya sentiasa memasukkan roh Islam dalam diri ahli-ahli dan pemimpinnya dengan menitikberatkan perhitungan pahala dosa sehinggakan tidak berlaku rasuah pada negeri-negeri yang diperintah seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
“Sebab itu saya sebagai Presiden PAS saya buka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat menteri besar, siasatan exco kita. Kalau ada rasuah, sila ambil tindakan. Kita bagi peluang kepada mereka.
“Kerana SPRM ini kita nak siasat dia nak siasat exco dan menteri-menteri ini ‘tanya’ pada Perdana Menteri dulu, tanya Menteri Besar dulu.
“Tetapi kami tidak. Kami bebas (untuk disiasat). Sebab kami tidak mahu orang yang buat macam ni dalam kerajaan,” ujar beliau.
Kerana itu tegas beliau, jika rakyat mahu sebuah kerajaan yang baik mesti memilih parti yang sentiasa mempunyai pertimbangan dosa pahala.
“Yang tak ada dosa pahala ni rosak,” ujar beliau dalam satu program Dialog Bersama Presiden PAS yang berlangsung di PASTI As-Sofi dalam DUN Simpang Jeram, di sini, pagi tadi.
Majlis yang dianjurkan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram itu turut menampilkan calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN itu iaitu Dr. Mohd Mazri Yahya. – HARAKAHDAILY 27/8/2023




















