
KUALA TERENGGANU: Seramai 27 pasukan termasuk lapan kelab elit dari Eropah dan Qatar akan menyertai kejohanan berbasikal Tour Gateh D’Tranung 2023 berlangsung pada 3 hingga 8 Sept ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abd Karim berkata sebanyak lima kategori akan dipertandingkan pada kejohanan yang memasuki edisi kedua tahun ini.
Beliau berkata pelumba akan melalui lima peringkat perlumbaan sejauh 650 kilometer (km) bermula dari Taman Tamadun Islam (TTI) hingga Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
“Untuk penyertaan kali ini, kita ada sembilan kelab tempatan; pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) (10) dan pasukan elit antarabangsa (lapan). Pasukan elit dari Eropah, Qatar, Singapura dan Indonesia.
“Lima kategori dipertandingkan ialah Elit; Raja Pecut, Raja Bukit; Kelab Tempatan dan Bawah 21 Tahun. Alhamdulillah kita mendapat banyak penajaan dan hadiah keseluruhan sebanyak RM90,000 ditawarkan untuk pemenang nanti,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Shahrizal Yahya.
Hishamuddin berkata selain memperkukuhkan lagi taraf Terengganu sebagai Land of Cyclist, Tour Gateh D’Tranung juga bertujuan merancakkan lagi industri pelancongan yang menjadi antara bidang utama negeri.
Menurut beliau, penyertaan kelab berbasikal luar akan membantu mempromosi lokasi-lokasi menarik di negeri ini seterusnya menjana ekonomi penduduk Terengganu.
“Kerajaan negeri akan menjadikan Tour Gateh D’ Tranung sebagai acara tahunan bagi merancakkan lagi industri pelancongan berasaskan sukan di Terengganu.
“Kita juga akan mendapatkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai kelab antarabangsa pada masa depan,” katanya. – BERNAMA











