
PESHAWAR/ISLAMABAD: Pasukan penyelamat Pakistan menarik tujuh kanak-kanak dan seorang lelaki selepas kereta kabel yang mereka naiki terkandas pada ketinggian hampir 300 meter lebih 15 jam di atas gaung terpencil, semalam.
“Ini adalah operasi unik yang memerlukan banyak kemahiran,” kata jurucakap tentera dalam satu kenyataan.
Operasi berisiko tinggi di utara Pakistan itu selesai dalam kegelapan malam selepas kereta kabel itu terkandas pada awal pagi, menyebabkan tergantung tidak menentu sepanjang hari.
“Semua kanak-kanak berjaya diselamatkan,” kata Perdana Menteri sementara, Anwaar-ul-Haq Kakar dalam catatannya di platform pemesejan X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
“Kerja berpasukan hebat oleh tentera, jabatan penyelamat, pentadbiran daerah serta penduduk tempatan.”
Operasi menyelamat menggunakan helikopter tentera dibatalkan menjelang malam selepas dua kanak-kanak berjaya ditarik ke tempat selamat. Lampu limpah dipasang dan operasi menyelamat dari darat diteruskan.
Sumber keselamatan berkata, pakar talian kabel menyelamatkan kanak-kanak berkenaan seorang demi seorang dengan memindahkan mereka ke platform kecil di sepanjang kabel.
Sebelum operasi menyelamat menggunakan helikopter dibatalkan, rakaman televisyen menunjukkan seorang kanak-kanak diangkat dari kereta kabel dengan menggunakan tali pinggang, berayun sebelah ke tepi, sebelum diturunkan ke tanah.

Kesukaran melampau
Usaha menyelamat yang menggemparkan negara itu, rakyat Pakistan berkerumun menonton televisyen ketika media menunjukkan rakaman seorang pekerja kecemasan terjuntai pada kabel helikopter dekat dengan kabin kecil, manakala mangsa berada dalam keadaan bersesak-sesak.
“Satu operasi yang amat sukar dan rumit berjaya dilakukan oleh tentera Pakistan,” kata jurucakap tentera dalam satu kenyataan.
“Semua yang terkandas dipindahkan ke tempat selamat…pentadbiran awam dan penduduk tempatan juga aktif tampil menyertai operasi ini.”
Sebuah video yang dikongsi pegawai agensi penyelamat menunjukkan lebih sedozen penyelamat dan penduduk tempatan berbaris berhampiran tepi jurang yang gelap, menarik kabel sehingga seorang budak lelaki yang diikat padanya dengan tali pinggang selamat sampai ke lereng bukit sambil menjerit “Allah Maha Besar “.
“Ini adalah operasi yang perlahan dan berisiko. Seseorang perlu mengikat dirinya dengan tali dan dia akan menaiki lif kecil untuk menyelamatkan mereka seorang demi seorang,” kata seorang penduduk, Abdul Nasir Khan.
Satu daripada tali yang membawa kereta kabel terputus kira-kira jam 7 pagi ketika pelajar dalam perjalanan ke sekolah di kawasan pergunungan di Battagram, kira-kira 200 kilometer ke utara Islamabad.
Kereta kabel itu tersangkut separuh jalan merentasi gaung, kira-kira 275 meter dari daratan, Shariq Riaz Khattak seorang pegawai penyelamat di lokasi memberitahu Reuters.
Katanya, misi menyelamat helikopter menghadapi kerumitan berikutan angin kencang di kawasan itu dan kebimbangan bilah kipas helikopter berisiko menjejaskan kestabilan lif.
“Keadaan kami tidak menentu, demi tuhan lakukan sesuatu,” Gulfaraz, 20, di kereta kabel, memberitahu saluran televisyen tempatan Geo News melalui telefon. Katanya, kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun dan seorang pengsan akibat kepanasan dan ketakutan. – REUTERS











