
RAUB: Program Gathering Alternative Riding Club (ARC) Pahang atau GAP2023 telah berlangsung dengan sambutan hangat dalam kalangan penunggang motosikal pada acara yang diadakan di Ulu Sungai, di sini kelmarin.
Bertemakan, ‘Ride Santai Jangan Lalai’, program riadah permotoran anjuran ARC Pahang di bawah Lajnah Seni Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang ini menerima lebih 150 penyertaan geng ARC seluruh negeri Tok Gajah ini.
Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Zarimi Abu Zih ketika merasmikan program tersebut berkata, sambutan amat menggalakkan ini secara tidak langsung memberi satu momentum positif kepada PAS khususnya Pemuda PAS dalam menyusun aktiviti atau program selari dengan jiwa orang muda.
Beliau turut memuji akhlak baik serta disiplin yang ditunjukkan ‘geng mat motor’ PAS di dalam siri-siri jelajah permotoran yang dianjurkan.
Adab dan akhlak baik ditonjolkan ini menurutnya adalah senjata dakwah yang mampu menarik masyarakat khususnya pencinta ‘riding’ untuk bersama PAS mengikuti program riadah patuh syarie.
“Apa beza ARC, geng mat motor ahli PAS dengan yang lain? Orang lain ada juga kelab motor tapi skop mereka mungkin hanya untuk tujuan riadah dan ukhuwah, kita tambah satu, dakwah.
“Apakah dakwah kita? Memakmurkan aktiviti riadah dan liburan mengikut syarak, jaga akhlak, jaga solat, taat arahan pimpinan, dalam masa sama patuh peraturan pihak penguasa,” ujarnya.
Sokongan dan keterlibatan anak muda bersama PAS ujarnya, memberi satu petunjuk jelas bahawa PAS tidak ‘rigid’ dan ini terbukti melalui pemilihan kepimpinan di dalam PRN baru-baru ini.
“Calon PRN Kedah ada dua orang bekas pemain bola kebangsaan, orang muda. Kita harap mungkin lepas ni ada calon yang akan memimpin masyarakat dari kalangan ahli-ahli ARC kita ni, insya-Allah,” ujar Zarimi semangat.
Himpunan dua hari bermula 19 hingga 20 Ogos bertempat di Chalet Pak Teh D’ Sungai Kelang, Ulu Sungai Raub itu disusun dengan pelbagai aktiviti menarik.
Antaranya sukaneka, sembang santai TikTok, jom ride ke masjid dan kuliyyah haraki disampaikan mantan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Hazmi Dibok.
Program penutupan dirasmikan Pengarah ARC Malaysia, Azha Mat Salleh dan turut dihadiri Pengarah ARC Pahang, Nasrul Hanif serta Pengarah DACS Pahang, Mohammad Khairul Firdaus. – HARAKAHDAILY 23/8/2023












