RM10 juta naik taraf kelajuan internet UMK

- Advertisement -

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperuntukkan hampir RM10 juta untuk menaik taraf kelajuan capaian internet di universiti itu daripada 1 gigabit sesaat (Gbps) kepada 6.4 Gbps.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Profesor Dr Arham Abdullah berkata, projek yang mendapat kerjasama penuh Telekom Malaysia membabitkan kerja menaik taraf capaian internet sepanjang lima tahun bermula sejak 2019 lalu.

- Advertisement -

Selain itu, katanya UMK menaik taraf infra rangkaian dengan peningkatan Core Switch (40 Gbps) setiap kampus, pembelian pelayan Hyper Convergence (prestasi tinggi), peningkatan storan bagi pusat data, jaminan keselamatan dengan Secure Socket Layer (SSL) dan VPN Web Application Firewall (WAF).

“Secara umum, UMK telah melaksanakan beberapa inisiatif pendigitalan seperti Digital Maker Studio (Makers@UMK) untuk membina bakat generasi muda dan menyediakan mereka untuk kerjaya digital pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha itu selari dengan agenda pemerkasaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta perbincangan mewujudkan transformasi digital secara menyeluruh di semua Universiti Awam (UA) yang turut menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat Majlis Pengarah-Pengarah ICT IPTA (MAPITA).

Menurut Dr Arham, mesyuarat itu adalah langkah penting ke arah mencapai matlamat utama untuk mewujudkan transformasi digital menyeluruh yang akan memberi impak positif kepada setiap aspek operasi dan pencapaian dalam menyokong inisiatif pendigitalan.

Katanya, UA memberi komitmen selaku penggerak dalam memajukan bidang ICT di UA masing-masing kerana era digital memberi impak, cabaran dan peluang yang besar dalam kehidupan.

“UA akan terus meningkatkan perkhidmatan ICT seperti perkhidmatan internet, pelayan, storan, kebolehcapaian data dan maklumat, pembangunan sistem aplikasi secara integrasi, perkomputeran awan dan keselamatan ICT bagi memenuhi keperluan pelajar, fakulti, pensyarah, penyelidik dan warga yang semakin berkembang.

“Ini juga melibatkan pemikiran strategik dan tindakan berani dalam merevolusikan cara bekerja, berinteraksi dan memberikan nilai kepada pemegang taruh, pelanggan, rakan strategik dan pemain industri ICT,” katanya.

Dalam usaha memastikan agenda pendigitalan berjalan lancar, katanya UA perlu membuat persediaan awal termasuk kajian terperinci bagi menambah baik perkhidmatan sedia ada.

Katanya, menjadi hasrat UMK untuk menjadikan platform perkongsian ini dapat dimanfaatkan dalam usaha mengetengahkan strategi dan pendekatan baharu, eksplorasi teknologi terkini, selain berkolaborasi antara universiti, agensi kerajaan dan industri – HARAKAHDAILY 23/8/2023.

- Advertisement -