
KANGAR: Hospital Pakar KPJ Perlis di sini tidak ketinggalan meraikan Hari Merdeka ke-66 yang bakal disambut 31 Ogos ini.
Pengarah Perubatan KPJ Perlis, Dr Hari Ram Ramayya berkata, acara tahunan itu wajib diadakan bagi menyemai semangat cintakan negara, terutama kepada staf pusat perubatan itu.
“Memang ini merupakan acara tahunan yang kami adakan untuk memastikan semua staf di sini menghayati erti kemerdekaan negara kita.
“Merdeka bukan saja dari segi fizikal, tetapi dari segi mental, emosi dan segala-galanya sekali gus dapat merapatkan hubungan sesama kita walaupun berbeza agama dan kaum,” katanya.
Menurutnya, perpaduan yang dicapai mesti diraikan dengan penuh komitmen oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, katanya KPJ Perlis dalam usaha untuk menambah bilangan katil dari 24 ke 60 katil.
“Kita juga akan menerima seorang pakar mata yang akan memulakan perkhidmatan pada 1 September ini dan seorang pakar kanak-kanak yang akan mula berkhidmat dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sebagai rekod, KPJ Perlis menjadi hospital swasta pertama yang beroperasi di negeri ini sejak 2018.
Sehingga kini, pusat perubatan itu mempunyai pakar perubatan dalaman, bedah tulang, bedah am, perbidanan dan sakit puan, kanak-kanak, pakar telinga, hidung dan tekak dan pakar radiologi. – HARAKAHDAILY 23/8/2023











