Pembangkang di Kelantan dapat peruntukan serupa

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang berkaitan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Nassuruddin Daud berkata, biar pun perbezaan politik, namun mereka dipilih oleh rakyat.

- Advertisement -

Justeru itu katanya, Kerajaan Kelantan akan memberi peruntukan secara adil kepada semua wakil rakyat.

“Kita akan beri peruntukan yang sama kepada semua wakil rakyat. Ini berasaskan apa yang disebut dalam al-Quran mengenai keadilan.

“Walaupun aliran politik berbeza, tetapi pilihan raya telah selesai maka kita akan beri peruntukan yang sama kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim hari ini.

Menteri Besar juga berkata, Kelantan akan terus mengadakan hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan, terutamanya berkaitan kebajikan rakyat.

“Insya-Allah kita akan cuba menyelesaikan dengan sebaiknya mengenai masalah yang dihadapi terutamanya berkaitan kebajikan rakyat,” katanya.

Kelantan hanya mempunyai dua Adun pembangkang iaitu Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) dan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas). – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -