Mengikat janji sebar kasih sayang kerana Allah

Mesej tarbiyyah Imam Hasan al-Banna

- Advertisement -

SESUNGGUHNYA Hasan al-Banna telah mengambil manfaat dari pengalaman para pemimpin sebelumnya. Lalu Allah menghimpunkan kelebihan-kelebihan ke dalam diri Hasan al-Banna, yang jika dibandingkan kebanyakan orang tidak memperolehi kesemua itu sekali gus.

Beliau merupakan seorang yang ketagih membaca al-Quran dengan suara yang lunak. Bahkan Hasan al-Banna dapat menafsirkan al-Quran seumpama beliau adalah Imam al-Tabari atau Imam al-Qurtubi. Beliau memiliki kemampuan memahami makna-makna yang sukar difahami, kemudian mampu mempersembahkannya kepada orang ramai dengan cara yang mudah difahami.

Hasan al-Banna tidaklah dikenali membawa tajuk-tajuk tasawuf. Bahkan beliau kelihatan menjauhkan diri dari menyertai tarikat, tidak seperti senario kebiasaan masyarakat ketika itu. Namun apa yang beliau bawa adalah pendekatan tarbiyyah agar pengikut-pengikutnya mengikat janji untuk menyebarkan kasih sayang kerana Allah seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Harith al-Muhasibi dan Imam Abu Hamid al-Ghazali.

Sesungguhnya Hasan al-Banna telah mempelajari ilmu Hadis dari ayahnya, berulang-ulang menekuni Musnad Imam Ahmad. Begitu juga beliau mempelajari Fiqh Mazhab secara terperinci, merangkumi manhaj Salaf dan Khalaf.

Beliau juga telah singgah menelusuri manhaj Muhammad Abduh dan anak muridnya si penulis tafsir al-Mannar, iaitu Syeikh Rasyid Redha. Berlaku juga dialog penuh adab dengannya. Dalam masa yang sama Hasan al-Banna turut kagum dengan tahap keilmuan Syeikh Rasyid Redha sekalipun wujud perselisihan.

Boleh jadi Hasan al-Banna adalah tokoh yang paling ampuh mengangkat darjat berfikir orang awam. Pada masa yang sama mampu berdialog dengan pelbagai golongan demi membawa mereka jauh dari khilaf dan fanatik – Syeikh Muhammad al-Ghazali (Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah Baina al-Muslimin)

Semoga Allah merahmati Imam Hasan al-Banna dan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
23 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -