
ALOR SETAR: Sasaran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mencapai kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya N kali ini menjadi kenyataan.
Setakat ini, 33 kerusi yang sudah disahkan dimenangi PN menang bergaya dengan memperolehi majoriti lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu.
Antara penyandang yang berjaya mempertahankan kerusinya termasuklah, Menteri Besar sendiri di DUN Jeneri, Dato’ Ustazah Siti Ashah (Merbau Pulas), Dato’ Najmi Ahmad (Kupang), Mohammad Yusoff @Munir Zakaria (Kuala Nerang), Dato’ Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang), Ustaz Mohd Azam Abdul Samat (Sungai Limau), Ustaz Salim Mahmood (Bukit Lada) dan Mohd Radzi Mat Amin (Pedu).
Selain itu Ustaz Hanif Ghazali (Tanjung Dawai), Azhar Ibrahim (Ayer Hitam), Mansor Zakaria (Kuala Ketil), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (Tokai) termasuk DUN Pantai Merdeka melalui calon baharu, Ustaz Sharil Long, Mohd Taufik Yaacob (Bayu), dan Ahmad Sulaiman (Belantik).
Sementara, 13 DUN yang diwakili Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) iaitu Gurun Baddrol Bakhtiar), Mardhiyyah Johari (Pengkalan Kundur), Rashidi Razak (Anak Bukit), Ustaz Azizan Hamzah (Bukit Selambau), Mohammad Radhi Mat Din (Alor Mengkudu), Ts Dr Mohd Suffian (Bandar Baru), dan Prof Dr Haim Hilman Abdullah (Jitra).
Termasuk Muhammad Amri Wahab (Derga), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Kota SiPuteh), Wong Chia Zhen (Kulim), Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti), Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang), dan Dato’ Salleh Saidin (Kubang Rotan) berjaya dirampas.
Di samping itu, kerusi yang dimenangi calon dari parti Bersatu sebelum ini Bukit Kayu Hitam (Dato’ Halimaton Saadiah Saad), Kuah (Amar Pared Mahamud), Guar Chempedak (Abdul Ghafar Saad) dan Shamsilah Siru di DUN Ayer Hangat berjaya dipertahankan.
Walau bagaimanapun, PH berjaya mempertahankan kemenangannya di DUN Kota Darul Aman dan Bakar Arang dan berjaya di DUN Sidam. – HARAKAHDAILY 12/8/2023











