Tiga nama calon MB disenaraikan selepas keputusan PRN

- Advertisement -

TUMPAT: PAS Kelantan akan menyerahkan tiga nama calon Menteri Besar (MB) kepada presiden parti itu, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) berpihak kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) malam ini.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pemilihan calon akan diputuskan presiden sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kelantan.

- Advertisement -

Menurutnya, sejurus nama calon-calon terbabit disenaraikan akan diputuskan Presiden PAS terlebih dahulu sebelum persembahkan kepada Al Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V.

“Apa yang kita buat ini selepas keputusan PRN diumumkan malam ini, dapat berapa kerusi, di mana (calon DUN) yang harus kita ambil, biasanya tiga calon atau lebih.

“Kadang-kadang ikut kelayakan yang ada pada calon sebab nak jadi pemimpin bukan mudah, ada tanggungjawab dan syaratnya tahan diuji,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, di sini, hari ini.

Beliau yang dilantik menjadi Menteri Besar bermula 2013 memberitahu, tanggungjawabnya selama dua penggal terpaksa dilepaskan berikutan faktor usia dan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.

Pesuruhjaya PAS Kelantan itu juga berkata, perkara itu (hasrat untuk tidak dicalonkan sebagai menteri besar) sudah lama disuarakan kepada presiden parti.

Tambahnya, hasrat yang serupa turut dinyatakan kepada beberapa rakan terdekat, di samping memaklumkan PRN kali ini adalah penggal terakhir sebagai sebagai calon wakil rakyat.

“Saya sentiasa mengalami keuzuran dan sudah dua kali jatuh, mungkin ada ‘slip disc’ dan ada juga masalah jantung.

“Kerana itu saya suarakan kalau boleh tak mahu jadi Menteri Besar lagi sebab faktor umur dan kesihatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -