PRN: Peluang rakyat buat perubahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri tidak lama lagi bakal menggugat kerajaan Pusat.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad, berkata jika kemenangan berpihak kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) di dua negeri yang kini ditadbir Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor dan Negeri Sembilan, sudah tentu ini menunjukkan dengan jelas sokongan rakyat kepada PH sudah tiada.

- Advertisement -

Katanya, mungkin sahaja bonus negeri yang menjadi kubu kuat PH, iaitu Pulau Pinang pun mampu berada di bawah PN.

“Perkara ini tidak mustahil berlaku apabila melihat sokongan rakyat di ketiga-tiga negeri ketika ceramah PN di ketiga-tiga negeri tersebut amat memberangsangkan.

“Sesungguhnya rakyat sekarang amat marah dengan kenaikan harga barangan. Separuh daripadanya disebabkan oleh nilai ringgit yang jatuh merudum. Malahan nilai ringgit dijangka akan terus turun ke RM5 untuk 1 dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan pada hari ini sudah mencecah RM4.68 untuk 1 dolar AS,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Najihatussalehah berkata, Dewan Muslimat PAS Malaysia juga merasakan ekonomi negara seperti tiada hala tuju mahu pun pelan pembangunan yang dapat dilihat sejak PH mula memerintah hingga kini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bota berkata, seolah-olah Menteri Kewangan dikawal oleh satu pihak lain yang membuat pelan tindakan untuk dirinya memandangkan beliau terlalu sibuk dengan kerja-kerja sebagai Perdana Menteri.

“Malah boleh dikatakan ekonomi negara semakin tenat di bawah pemerintahan PH. Selain itu, punca kemarahan rakyat dari kenaikan tambang haji oleh Tabung Haji dan kenaikan tarif elektrik. Rakyat juga bakal berdepan kenaikan harga minyak yang kononnya hanya akan dihadapi oleh golongan T20.

“Walaupun kerajaan kononnya ingin menghapuskan rasuah, rakyat tidak percaya apabila Perdana Menteri melantik Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan kes mahkamah, malah isu kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi antara agenda ketika berkempen masih dipandang sepi,” katanya.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia merasakan rakyat adalah pengundi yang bijak dan mampu mengubah hala tuju negara ke arah kerajaan yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 25/6/2023

- Advertisement -