
Juergen Klinsmann mempertahankan permulaan kurang memberangsangkannya sebagai jurulatih Korea Selatan apabila masih belum mencatat kemenangan sepanjang mengendalikan empat perlawanan selepas mengambil alih tugas daripada Paulo Bento.
Klinsmann dilantik pada Februari lalu. Pasukannya seri dua kali dan tewas dua kali. Keputusan seri dalam perlawanan pertama menentang Colombia, diikuti kekalahan kepada Uruguay dan Peru, manakala perlawanan antarabangsa terbaharu menentang El Salvador juga berakhir dengan seri 1-1.
“Saya harap dapat betulkan secepat mungkin kerana kami benar-benar percaya sepatutnya menang semua empat perlawanan itu,” kata Klinsmann pada sidang akhbar di Seoul, semalam.
“Bukan hanya satu atau dua, semua keempat-empat perlawanan itu patut menang. Kami adalah pasukan yang lebih baik dan bermain bola sepak yang mengagumkan, terutama pada separuh masa pertama menentang Colombia, separuh masa kedua berdepan Uruguay dan kemudian dua perlawanan menghadapi Peru dan El Salvador.
“Kami jelas pasukan yang lebih baik, mempunyai banyak peluang. Namun, peluang itu tidak diterjemahkan kepada kemenangan. Kami perlu berusaha ke arah itu,” katanya.
Klinsmann dilantik tiga tahun selepas tugas terakhirnya sebagai jurulatih berakhir dengan kekecewaan bersama kelab Bundesliga, Hertha Berlin. Ini menyebabkan pelbagai pihak terkejut dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) melantiknya.
Bekas penyerang berusia 58 tahun itu mengakui dia dan pasukan bimbingannya masih dalam proses penyesuaian untuk membentuk skuad yang mantap menjelang pusingan akhir Piala Asia di Qatar, Januari depan.
“Ia ibarat satu keluk pembelajaran bagi kami yang belajar banyak perkara dalam tempoh tiga bulan lalu. Kami terus belajar bagaimana KFA berfungsi..
“Pada masa sama, kami mempunyai cabaran lain. Kami bakal menghadapi Piala Asia, iaitu pertandingan antarabangsa. Kami perlu memikirkan tentang lawan. Ia projek yang menarik, tetapi banyak kerja,” – HARAKAHDAILY 23/6/2023











