
Barcelona akan mempertahankan kejuaraan Liga Sepanyol dengan bertandang ke tempat lawan di Getafe pada 13 Ogos, manakala Real Madrid berkunjung ke Athletic Bilbao pada hujung minggu yang sama.
Berikutan kerja pengubahsuaian Camp Nou di Barcelona yang sedang dijalankan, gergasi Catalan itu akan menentang musuh ketat, Real Madrid pada perlawanan ke-11 pada 29 Oktober di Stadium Olimpik Montjuic.
Kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu di Santiago Bernabeu pada perlawanan ke-32, pada hujung minggu 21 April 2024.
Hujung minggu terakhir LaLiga boleh menjadi kemuncak ketegangan pada musim akan datang dengan Barcelona berdepan juara Liga Europa, Sevilla. Real Madrid pula menerima kunjungan Real Betis dan pasukan Liga Juara-Juara, Real Sociedad menerima kunjungan Atletico Madrid.
Mengikut Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), tidak akan ada perlawanan pada malam Tahun Baharu 2024 kerana cuti Krismas akan berlangsung mulai 20 Disember hingga 2 Januari.
Piala Super Sepanyol di Arab Saudi akan berlangsung antara 10 hingga 14 Januari melibatkan Barcelona, Real Madrid, Osasuna dan Atletico. Copa del Rey akan bermula pada 1 November dan perlawanan akhir pada 6 April di Stadium La Cartuja di Seville.
Musim LaLiga 2023-24 akan bermula pada Jumaat, 11 Ogos dan berakhir pada Ahad, 26 Mei 2024. – REUTERS











