
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jordan University Science and Technology (JUST) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pelaksanaan Projek Matching Grants Malaysia-Jordan.
Perjanjian kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak khususnya untuk tempoh jangka panjang.
Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Razli Che Razak berkata, projek Matching Grants Malaysia-Jordan merupakan inisiatif daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia dengan kerjasama Education Malaysia Jordan (EMJ).
Katanya Matching Grants untuk menyokong projek penyelidikan kolaboratif dengan pihak luar termasuk institusi antarabangsa yang boleh menyediakan kepakaran, sumber atau rangkaian pelengkap penyelidikan.
“Menurut Education Malaysia Jordan, jumlah permohonan geran yang diterima sebanyak 566 dan Jordan University Science and Technology (JUST) hanya memilih 29 projek melalui kerjasama tersebut.
“Hasil kerjasama terbabit sebanyak empat daripada projek penyelidikan daripada penyelidik UMK.
“Melalui projek Matching Grants dapat membantu menggalakkan kerjasama penyelidikan, mewujudkan sinergi dan perkongsian dalam kalangan penyelidik dan pihak luar serta merangsang pelaburan luar,” katanya pada program tersebut di Jordan semalam.
MoA itu ditandatangani Dr Razli mewakili UMK, manakala JUST diwakili Presidennya Prof Khalid I El-Salem.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Duta Malaysia di Jordan, Mohamad Nasri Abdul Rahman.
Turut hadir Minister Councellor (Education) Malaysia, Prof Madya Dr Radzuwan Ab Rashid, Pengarah Pejabat Antarabangsa JUST, Prof Feda Yousef Al-Tamimi dan Pengarah Penyelidikan JUST Prof Tareq Lewis Mukattash.
Manakala delegasi UMK yang hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Chm. Ts Dr Abdul Hafidz Yusoff dan Pengarah Bahagian Penerbitan dan Penarafan (TNCPI), Prof Madya Dr Mohd Asrul Hery Ibrahim. – HARAKAHDAILY 17/5/2023











