Gulai ayam habis selepas setengah jam dibuka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tidak sampai setengah jam gerai nasi gulai ayam dibuka, petugasnya menarik nafas lega kerana nasi dan lauk sudah kehabisan stok.

- Advertisement -

Sebaik sahaja gerai tersebut dibuka kira-kira jam 9.45 pagi, orang ramai beratur sehingga ke gerai sebelah untuk mendapatkan nasi berlauk yang begitu menyelerakan.

Aksi itu dapat dilihat pada majlis sambutan Aidilfitri Masjid Sultan Muhammad ll Telipot. Pada jadual asal majlis bermula jam 10 pagi, namun orang ramai sudah mengerumuni gerai-gerai di bawah khemah jam 9 pagi lagi.

Majlis hari raya itu turut mengundang musalla-musalla yang berada di sekitar Masjid Sultan Muhammad ll Telipot mengambil bahagian bagi menyediakan juadah.

Turut menyediakan juadah termasuk Masjid (musalla) al Muhsinin Kampung Belukar, Masjid An Najah Kampung Paya Senang, komuniti Tijani Jalan Raja Dewa dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Masjid al Muhsinin menyediakan lemang dengan pencicah manisan pekat diserbu orang ramai seawal jam 9 pagi. Sebanyak 70 batang lemang disediakan bagi jamuan rumah terbuka tersebut.

Program majlis Hari Raya tersebut merupakan kali ketiga diadakan dengan mengundang komuniti setempat dan ahli-ahli jemaah yang tinggal di sekitar Masjid Masjid Sultan Muhammad ll.

Imam Tua masjid terbabit Osman Mat Zin dan ahli-ahli jawatankuasa masjid berpakaian baju Melayu lengkap bersamping, melayan mesra orang ramai yang hadir.

Rumah tersebut juga diadakan di beberapa lokasi hari ini termasuk pejabat Air Kelantan Sdn Bhd di Jalan Kuala Krai dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Jalan Maharani.

Manakala Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pula akan menganjurkan sambutan Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri esok di perkarangan Bangunan MAIK, Lundang. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -